Barbie! Anak patung fashionista yang anggun lagi digemari ramai sesungguhnya mempunyai cita rasa fesyen yang memukau. Kini, Barbie bukan sahaja menjadi tumpuan kanak-kanak yang menganggapnya sebagai ikon gadis sempurna, malah ramai orang dewasa turut menjadi peminat tegar Barbie, lalu menjadikannya sebagai barangan koleksi edisi terhad yang tinggi nilai harganya.
Sejak pelancarannya 5 September lalu, jenama fesyen Milan yang terkemuka Moschino dan Barbie begitu teruja mengumumkan kerjasama antara mereka kepada para pengumpul edisi patung Barbie Moschino yang juga didatangkan bersama lapan (8) jenis rekaan pakaian dan aksesori tambahan sedia dipakai (ready-to-wear) bagi setiap pembelian seunit.
Pengarah Kreatif Moschino, Jeremy Scott tidak sabar untuk membawakan ciri ternama jenama berkenaan untuk digayakan oleh Barbie. Barbie dilihat menyarung helaian jaket kulit yang mengetengahkan perincian ala perca (quilted), digayakan pula dengan sehelai skirt berpotongan pensil.
Dalam masa yang sama, patung berkenaan dihiasi aksesori klasik Moschino termasuk topi kulit berjenama, beg silang mini ala perca (quilted) dan beg membeli-belah.
Perincian gaya turut dimeriahkan dengan gabungan sepasang anting-anting unik tidak sepadan, kalung berlapis, kaca mata hitam, beg kulit gaya biker, beg sandang, serta tali pinggang rantai emas bermotifkan huruf ejaan M.O.S.C.H.I.N.O.
Tidak ketinggalan, koleksi Barbie Moschino ini juga mempunyai koleksi khas untuk orang dewasa termasuklah dua (2) rekaan istimewa iaitu T-shirt Asas yang tercetak gambar Barbie Moschino dihadapannya.
Khas untuk gedung membeli-belah barangan berjenama pereka antarabangsa atas talian NET-A-PORTER.COM, Sarah Ruston selaku Naib Presiden Belian Global berkata, “Kami adalah peminat koleksi Moschino yang begitu mesra dan funky. Ini adalah peluang keemasan yang patut dimanfaatkan dengan menjalin kolaborasi bersama Mattel dalam mencipta Barbie Moschino secara eksklusif, khas untuk NET-A-PORTER.”
“Dengan aturan yang telah disusun oleh Jeremy bagi membawakan koleksi kapsul sebenar yang berpadanan dengan pakaian serta aksesori Barbie berkenaan, sudah tentu pelanggan kami akan gembira”, tambahnya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.net-a-porter.com & www.moschino.com