Serangan asma boleh tergolong kepada serangan yang tidak serius, sederhana hingga ke tahap yang boleh mengancam nyawa. Hasil kajian selidik seluruh Asia memperlihatkan persepsi baru tentang bagaimana pesakit menyifatkan kawalan ke atas penyaki asma mereka. Tinjauan selidik REALISE Asia (REcognise Asthma and LInk to Symptoms and Experience yang bermakna Kenali Asma dan Kaitkan kepada Gejala dan Pengalaman) ditaja oleh Mundipharma dan dirangka bersama dengan Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada pakar respiratori dari seluruh rantau ini, membabitkan 2,467 penghidap asma berumur 18 hingga 50 tahun di 8 negara Asia, termasuk 151 responden dari Malaysia.
REALISE Asia menunjukkan bahawa pesakit kurang faham tentang keadaan mereka dan definisi kawalan penyakit dalam pengurusan asma. Sungguhpun 9 daripada 10 pesakit menganggap diri mereka dapat mengawal penyakit asma mereka, hanya 28% benar-benar terkawal berasaskan garis panduan klinikal. Pesakit lebih cenderung mengaitkan kawalan asma kepada pengurusan, bukan pencegahan.
Menurut hasil tinjau selidik tersebut, 93% daripada responden Malaysia tidak menganggap asma mereka serius dan 79% percaya mereka boleh menguruskan asma mereka tanpa bantuan doktor. Akibatnya, separuh responden mendapati penggunaan ubat sedut atau inhaler menyusahkan dan 41% daripada responden tidak melihat keperluan untuk mengambil ubat mereka secara tetap memandangkan mereka tidak mengalami gejala penyakit atau serangan asma.
Hasil tinjau selidik ini mengesahkan bahawa pesakit asma terus menanggung beban berat penyakit. 92% masih mengalami gejala yang membimbangkan, termasuk kesukaran bernafas, batuk, berdehit dan sesak dada. Gejala ini menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti kerja mereka. Sepanjang tahun lepas, 62% daripada responden Malaysia tidak dapat tidur pada waktu malam disebabkan gejala asma dan 40% memerlukan rawatan di hospital. Dua pertiga terpaksa mengambil cuti sekurang-kurangnya satu hari daripada kerja atau sekolah, manakala satu perlima daripada responden mengambil cuti seminggu.
“Di Malaysia, pesakit saya sentiasa mengecilkan keseriusan penyakit asma mereka. Pesakit yang percaya bahawa penyakit asma mereka terkawal berkemungkinan tidak mengambil ubat yang dapat mencegah serangan teruk asma daripada berlaku. Mereka juga kurang berkemungkinan memberi perhatian kepada gejala penyakit apabila keadaan tidak teruk, dan ini akan memberi kesan ke atas kehidupan sehari-harian mereka, termasuk prestasi kerja dan sekolah.
“Pesakit boleh belajar untuk menguruskan keadaan mereka secara lebih baik, kerana ini akan memberi kesan positif ke atas kualiti hidup mereka. Mereka hendaklah berbincang dengan doktor mereka tentang usaha menambah baik kawalan penyakit asma mereka,” kata Dato’ Dr Abdul Razak Bin Abdul Muttalif, Doktor Perunding Kanan Dada, selaku Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Kuala Lumpur dan ahli Jawatankuasa Pemandu REALISE Asia.
Meskipun banyak kajian telah dijalankan dan pelbagai program pendidikan telah dilaksanakan, bilangan pesakit yang disifatkan sebagai tidak dapat mengawal penyakit mereka tetap sama. Menurut Hans Kim, Pengurus Negara bagi Mundipharma Malaysia,
“Kami mula faham bahawa terdapat jurang antara apa yang pesakit percaya tentang kawalan asma mereka secara mencukupi dan apa yang benar-benar mereka boleh capai. Justeru, mereka mungkin tidak dapat mengecapi sesuatu yang penting dalam hidup mereka. Dengan hasil kajian ini, kami akan terus bekerjasama dengan pakar respiratori untuk menggalakkan pembangunan strategi dan alat pengurusan penyakit yang lebih baik di Malaysia.”
Sokongan Mundipharma terhadap REALISE Asia mencerminkan komitmen mereka untuk membantu doktor dan pesakit mengurangkan beban menangani asma di kalangan lebih 70 juta penduduk Asia.