Disebabkan isu novel berunsur seks, Raja Azmi dilarang ke UIAM Kuantan. Menurut pihak pengurusan UIAM Kuantan, antara sebab Raja Azmi tidak dibenarkan untuk mengadakan dialog bersama pelajar ialah kerana banyak novel-novel Raja Azmi mengandungi unsur seks dan fantasi melampau. Kini, penulis novel KARKUMA, Raja Azmi Raja Sulaiman sekali lagi dilarang daripada mengadakan pertemuan bersama pelajar universiti.
Astro Awani melaporkan slot dialog bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu sepatutnya berlangsung pada Ahad 26 Oktober 2014 bersempena dengan ArtFest anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist UiTM Shah Alam.
Raja Azmi dijemput untuk mengisi slot festival seni mereka pada 15 Oktober 2014 lalu dan bersetuju untuk diadakan tayangan filem …DALAM BOTOL dan diikuti dengan sessi dialog bersama orang ramai.
Filem …DALAM BOTOL merupakan filem terbitan Raja Azmi dan diarahkan oleh Khir Rahman.
Namun, pada pagi hari yang dijadualkan (26 Oktober), pihak Merpati Jingga mendapat panggilan yang memaklumkan bahawa Raja Azmi tidak dibenarkan mengadakan sessi tersebut. Menurut surat pembatalan yang dihantar sendiri oleh Pengarah Program Rul Iman Nur Rahidzab dengan tangan pada jam 1 tengahari, kami dimaklumkan bahawa ia merupakan arahan daripada pihak atasan UiTM Shah Alam dan dipercayai dinaungi oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM. Surat pembatalan dilampirkan sebagai rujukan.
Pihak Merpati Jingga juga menyatakan bahawa pihak penganjur yang ingin menjemput mana-mana penulis atau artis kami agar memeriksa dahulu dengan pihak atasan mereka sebelum menyusahkan banyak pihak.