Filem ini diberi genre seram. Jadi, sudah semestinya filem ini menampilkan elemen seram. Malangnya, filem ini gagal membuatkan anda berasa tidak senang duduk.
Tetapi tahukah anda, di sebalik berdiri dengan megah Menara Eifel, di Paris, terkuburnya sebuah jalan bawah tanah atau ‘catacombs’ yang menyimpan 1001 rahsia dan misteri. Misteri itu memberi idea kepada adik-beradik, John Erick Dowdle dan Drew Dowdle untuk menulis skrip filem As Above/So Below.
Diarahkan oleh mereka sendiri, filem yang menampilkan Ben Feldman, Perdita Weeks, dan Edwin Hodge ini mengisahkan sekumpulan pelajar yang ingin menerokai rahsia di sebalik ‘catacombs’ yang dipenuhi dengan tengkorak dan misteri. Bagaimanapun secara tidak sengaja, mereka telah membongkar rahsia di sebalik misteri yang tersembunyi itu hingga mengundang kematian beberapa rakan yang menyertai misi tersebut.
Mungkin satu trend, filem ini juga turut menggunakan teknik rakaman ‘found footage’ atau rakaman secara langsung dan kira-kira 90 peratus perjalanan filem ini menggunakan ‘found footage’. Disebabkan itu bila babak seram dan cemas, anda akan turut sama berasa cemas, takut dan terkejut dengan perjalanan cerita filem ini. Namun kadang kala bila melibatkan babak pergelutan atau cemas, ia akan membuatkan anda sedikit pening dengan pergerakan yang terlalu cepat.
Walaubagaimanapun, ada banyak babak yang agak mengecewakan malah pelbagai persoalan yang tidak terjawab sehingga penulis membuat telahan sendiri barangkali adik-beradik Dowdle ingin membuat kesinambungan filem ini.
Sejujurnya penulis kurang menyenangi filem ini, dengan penggunaan teknik rakaman yang agak kelam kabut sehingga membuatkan penulis geram kerana mereka masih ingin merakam sedangkan keadaan sedang kusut. Pelbagai persoalan tidak terjawab, wujudnya individu yang tidak tahu asal usul, pengakhiran cerita yang kurang memuaskan. Penulis beri 3 bintang sahaja.