Presiden Rusia, Vladimir Putin mengesahkan perceraian dengan isterinya, Lyudmila Putina yang dikahwini selama 30 tahun berikutan perpisahan secara tiba-tiba pasangan itu pada musim panas lalu.
Jurucakap presiden, Dmitry Peskov mengesahkan bahawa perceraian itu sudah disahkan. Putin pada Jun tahun lalu membuat satu pengumuman mengejut bahawa mereka sudah berpisah selepas tiga dekad berkahwin.
“Ia adalah satu keputusan bersama,” kata Putin manakala isterinya berkata bahawa perkahwinan itu sudah berakhir kerana ‘kami sudah saling tidak bertemu’ sambil menyifatkan ia sebagai satu perceraian bertamadun.
Lyudmila Putina sejak sekian lama tidak kelihatan di khalayak ramai, manakala dua anak perempuannya juga tidak didedahkan kepada umum. Tidak ramai rakyat Russia yang tahu bagaimana rupa mereka.
Kehidupan peribadi Putin, 61, sejak sekian lama menjadi desas-desus apabila ada pihak mengaitkan beliau dengan ahli gimnastik Olimpik yang kini menjadi ahli parlimen, Alina Kabayeva. Khabar angin terbabit bagaimanapun dinafikan dan syarikat penerbitan yang mengaitkan hubungan itu ditutup pada 2008.
Sumber:BERITA HARIAN, HARIAN METRO