Semalam jam 10 malam menerusi sidang media khas, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berkata pesawat MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu, disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia. Persoalannya bagaimana pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi?
Berdasarkan kepada analisis baru oleh penyiasat di United Kingdom dan firma satelit Britain, Inmarsat. Inmarsat mengemukakan data baru kepada bahagian Penyiasat Nahas Udara United Kingdom (AAIB) supaya ia boleh diperiksa sebelum disebarkan kepada orang awam.
Naib Presiden Kanan Inmarsat, Chris McLaughlin berkata firma itu mengkaji ping elektronik yang pesawat itu hantar kepada salah satu satelitnya. Firma itu menambah bahawa ini adalah teknik terbaru dan oleh kerana itu, analisis tersebut memakan masa.
Inmarsat memutuskan bahawa kapal itu telah terbang lebih 5 jam selepas meninggalkan ruang udara Malaysia dan berkemungkinan telah mengambil dua laluan.
Chris McLaughlin berkata “Kita melihat kepada kesan Doppler, yakni perubahan frekuensi akibat pergerakan satelit dalam orbitnya. Apa yang kami peroleh kemudiannya adalah jangkaan laluan utara dan jangkaan laluan selatan.
Walaupun Inmarsat menyampaikan maklumat itu kepada kerajaan Malaysia pada 12 Mac, mereka terus mengkaji data yang ada. Perbandingan dilakukan dengan kapal terbang lain dalam laluan yang sama dan Inmarsat berjaya mewujudkan ‘persamaan luar biasa’ antara laluan yang diramal ke selatan dan bacaan yang diterima dari kapal terbang yang lain.
Maklumat itu bersama anggaran kelajuan MH370, memperkecilkan kawasan pencarian kepada 3 peratus daripada keluasan koridor selatan.
“Kami bekerja berdasarkan di mana ‘ping’ terakhir berlaku dan kami tahu bahawa kapal berkenaan mesti telah kehabisan minyak sebelum ‘ping’ otomatik seterusnya, tetapi kami tidak tahu kelajuan kapal itu bergerak – kami andaikan ia 450 knots,” kata McLaughlin.
Sehubungan dengan itu juga, China menuntut Malaysia menyerahkan data satelit yang ada selepas Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman bahawa pesawat MH370 telah mengakhiri penerbangan di Lautan Hindi berdasarkan data dari satelit.
Dalam mesyuarat pada lewat Isnin, Timbalan Menteri Luar China, Xie Hangsheng telah memberitahu Kedutaan Malaysia di China untuk menyediakan bukti terperinci mengenai ‘kesimpulan’ yang dibuat, kata Kementerian Hal Ehwal Luar China.
“Kami telah meminta pihak Malaysia untuk menyatakan bukti terperinci mengenai pengumuman yang telah dibuat dengan menyediakan kesemua maklumat data satelit yang diperolehi.