Berikutan perbicaraan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awalludin yang didakwa di Mahkamah Daerah Solna atas tuduhan memukul keempat-empat anak mereka antara tahun 2010 hingga tahun 2013 , kini giliran , Azizul Raheem Awalludin, ( bapa kepada anak-anak tersebut ) memberi keterangan pada hari ketujuh perbicaraan di mahkamah.
- Azizul menafikan pernah melakukan kekerasan terhadap empat orang anaknya, tetapi mengaku mengamalkan cara didikan tegas.
- Bagaimanapun Azizul berkata , dia telah mengurangkan ketegasan tersebut sewaktu berpindah ke Sweden kerana dikejutkan dengan situasi sedih yang berlaku sewaktu mendaftarkan persekolahan anak ketiganya, Adam. Azizul menerangkan dia terkesan dengan situasi yang mana Adam tidak dibenarkan untuk didaftarkan di sekolah biasa sebaliknya diminta ke sekolah khas (slow learner) akibat daripada disleksia yang dialaminya.
- Azizul yang menggelar Adam sebagai ‘streetsmart’ mengatakan akibat insiden itu, dia mengurangkan ketegasan bagi mengelakkan tekanan terhadap anak-anaknya terutamanya Adam.
- Bagaimanapun, sebelum ini, anak sulung pasangan tersebut, Aishah pula pernah memberi kenyataan ibu mereka (Shalwati) agak tegas dengan Adam kerana anak ketiga pasangan itu mempunyai kesukaran dalam pembelajaran.
- Azizul menafikan ada memukul anak-anaknya di muka, belakang badan dan tangan sebaliknya menyatakan dia hanya memberikan pukulan ringan sebagai pengajaran kepada anak-anaknya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama dan bukannya berniat mencederakan atau mendatangkan kesakitan.
Jawapan Azizul untuk tuduhan empat insiden memukul anak-anaknya :
Insiden pertama
Tuduhan :
Berlaku ketika di meja makan sewaktu menikmati makan malam
Penjelasan Azizul :
Azizul berkata ianya adalah mustahil untuk beliau memukul Ammar ketika itu kerana tempat duduk anak keduanya itu berhadapan dengannya dan kedudukan itu tidak memungkinkan Ammar dipukul.
Insiden kedua
Tuduhan :
Azizul menggunakan rotan sewaktu mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran.
Penjelasan Azizul:
Azizul menegaskan ianya tidak berlaku kerana kayu nipis yang dikatakan sebagai alat memukul itu hanya digunakan sebagai penunjuk dan jika digunakan untuk memukul sekalipun, ia tidak mendatangkan kesakitan atau kesan
Insiden ketiga
Tuduhan :
Insiden yang berlaku di dalam kereta di mana Azizul dikatakan memukul Ammar yang bertengkar dengan Aisyah sewaktu dalam perjalanan ke sekolah.
Penjelasan Azizul:
Azizul menafikan kejadian tersebut dengan menceritakan dia hanya menyentuh bahu Ammar dan memintanya berhenti berbalah dengan kakaknya. Sewaktu kejadian itu, Azizul yang sedang memandu terdengar anak-anaknya bertengkar apabila Ammar yang duduk di bahagian depan menggerakkan kerusinya jauh ke belakang mengakibatkan Aisyah yang duduk di tempat duduk belakang tersepit. Aisyah yang beberapa kali meminta Ammar membetulkan kerusinya tidak dihiraukan menyebabkan Azizul menghalang dan meminta Ammar untuk membetulkan kerusinya.
Insiden keempat
Tuduhan :
Pegawai Pendakwa yang sentiasa cuba membuktikan Azizul ada memukul anaknya ketika ini bertanya mengenai kejadian Ammar dipukul semasa hari halloween.
Penjelasan Azizul:
Azizul yang kelihatan tenang bagaimanapun menjawab mereka tidak menyambutnya kerana ia tidak dibenarkan di dalam Islam. Oleh itu, dia tidak tahu bilakah hari tersebut selain menyatakan kejadian ini tidak pernah berlaku.
- Ketika ditanya bagaimana dia menzahirkan perasaan marah, Azizul menjelaskan kebiasaannya dia akan meninggikan suara selain membuat bunyi sama ada mengetuk meja atau tangga. Ada ketikanya dia turut memutuskan talian internet dan membuat kiraan sebagai amaran kepada anak-anaknya.
- Sebelum ini, dalam satu rakaman video Adam Azizul Raheem, 11,(anak ketiga) ketika ditanya apa yang terjadi apabila bapanya marah, Adam berkata dia akan menjerit kepadanya, kakak dan abangnya tetapi sentiasa “bercakap baik” dengan adiknya, Ariff.
- Aishah juga pernah menyatakan, ayahnya tidak pernah memukulnya kerana kaum lelaki pukul dengan kuat. “Kalau si ayah memukul anak, bukankah mereka (si anak) akan berdarah sehingga boleh mati. Saya lebih rela dia (Azizul Raheem) tidak berbuat demikian,” kata Aishah
Perbicaraan bersambung 5 Mac 2014.