Kalau nak membuat kek, macam-macam masalah akan timbul. Daripada acuan yang tak menjadi sehinggalah tiada tempat untuk membakar kek iaitu oven. Perkara-perkara yang terjadi inilah yang membuatkan ramai putus asa dan tak mahu buat kek.
Lagipun kalau scroll di internet, kebanyakkan resepi kek akan menggunakan oven. Jadi macam mana dengan mereka yang tiada oven? Adakah mereka perlu beli kek setiap kali craving?
Jangan risau, Wanista akan bantu anda dengan beberapa resepi kek yang sedap tanpa menggunakan oven langsung bagi memudahkan mereka yang ingin membuat kek tetapi tiada oven.
KEK SUSU KUKUS
Bahan-bahan:
- Tepung gandum – 2 cawan
- Gula halus – 2 cawan
- Susu pekat manis – 3 sudu besar
- Susu cair – 1 cawan
- Telur saiz A – 3 biji
- Esen vanila – 1 sudu teh
- Ovalette – 1 sudu besar
- Garam halus – 1/4 sudu teh
- Minyak jagung – 1/4 sudu teh
Cara Memasak:
- Menggunakan mixer, putarkan telur, gula, ovalette, susu cair, susu pekat manis, esen vanilla dan garam sehingga gebu.
- Masukkan minyak jagung dan tepung gandum dan kemudian putar sehingga menjadi sebati.
- Bahagikan adunan tersebut dalam 4 mangkuk sama saiz atau beberapa hidangan yang kamu mahu. Warnakan dengan pewarna kuning, coklat, merah dan hijau. Kacau rata.
- Sapukan mentega pada loyang dan tuang adunan yang diwarnakan secara berselang-seli.
- Letakkan loyang tersebut dalam periuk kukus yang telah dipanaskan terlebih dahulu.
- Tutup dengan rapat. Tudung periuk diikat dengan kain supaya kek tidak menjadi bantat.
- Kukus selama 35 minit menggunakan api sederhana.
- Bila dah masak, angkat dan sejukkan sebelum dimakan.
KEK COKLAT MOIST KUKUS
Bahan-bahan:
- Tepung gandum – 1 1/2 cawan (#)
- Baking powder – 1 sudu teh (#)
- Soda bikarbonat – 1 /2 sudu teh (#)
- Serbuk koko – 1/2 cawan (#)
- Minyak masak – 1 cawan
- Susu cair – 1 cawan
- Susu pekat – 1/2 cawan
- Gula – 7 sudu makan
- Garam – 1 sudu teh
- Ovalette – 1 sudu makan
- Telur Gred A – 2 biji
Cara Memasak:
- Ayak bahan-bahan yang bertanda (#) dan ketepikan.
- Masukkan bahan-bahan yang tidak bertanda (#) ke dalam pengisar. Kisar sehingga sebati.
- Tuang adunan tersebut dalam bahan yang diayak tadi. Kacau sehingga sekata.
- Kemudian, sapukan marjerin di loyang dan tuang adunan kek tersebut.
- Penutup periuk kukus mesti dibalut dengan kain bagi elakkan wap air menitis atas kek.
- Menggunakan periuk kukus yang dipanaskan terlebih dahulu, kukus selama 1 jam.
- Untuk topping, panaskan susu cair, susu pekat dan coklat masakan menggunakan kaedah double-boil. Apabila coklat dah larut, masukkan sedikit shortening.
- Apabila kek sudah dimasak, biarkan ia suam terlebih dahulu sebelum menuang topping di atasnya.
- Tuang separuh dahulu di atasnya dan simpan kek dalam peti sejuk selama 30 minit.
- Lebihan topping tadi dituang selepas kek dikeluarkan dari peti sejuk. Sedia untuk dinikmati.
KEK PISANG GUNA KUALI
Bahan-bahan:
(A) Bahan Blender
- Pisang – 1 cawan dilecek
- Gula – 3/4 cawan
- Minyak masak – 1 cawan
- Limau nipis – 1 sudu besar
- Garam – secubit
(B) Bahan Ayak
- Tepung gandum – 1 1/2 cawan
- Baking soda – 1 sudu kecil
- Baking powder – 1 sudu kecil
Cara Memasak:
- Blender bahan-bahan (A) kecuali pisang selama 2-3 minit.
- Apabila dah sebati, masukkan pisang dan blend sekejap sehingga hancur
- Kemudian satukan bahan-bahan (B), ayak dalam satu bekas dan kacau sebati.
- Ambil bahan-bahan (A) yang telah blend dan tuangkan ke dalam adunan (B) dan kacau lagi sehingga kedua-dua bahan sebati.
- Sapukan marjerin pada loyang dan tuang adunan tersebut.
- Hiaskan bahagian atas adunan tersebut dengan hirisan nipis pisang di atasnya.
- Letak loyang tersebut di atas tungku dalam kuali yang dipanaskan.
- Tutup kuali dengan rapat dan bakar tanpa air.
- Masak selama 30-40 minit dan cucuk lidi pada kek untuk lihat sama ada kek dah masak atau belum.
- Sejukkan dahulu sebelum makan.
KEK KEJU LEMON
Bahan-bahan:
- Mentega – 250gm
- Biskut Marie – 1 paket
- Cream cheese – 250gm
- Lemon – 2 biji
Cara Memasak:
- Patahkan dan kisar sehingga hancur biskut Marie.
- Cairkan mentega dalam kuali dan masukkan biskut Marie yang dikisar. Gaul sehingga sebati.
- Masukkan adunan tersebut ke dalam loyang yang dialas dengan aluminium foil.
- Kemudian padatkan adunan tersebut menggunakan gelas. Biarkan seketika.
- Menggunakan mixer, putar cream cheese, jus lemon dan susu pekar sehingga sebati dan berbentuk cream.
- Selepas itu masukkan adunan tersebut ke dalam loyang yang mempunyai adunan biskut.
- Ratakan dan simpan dalam peti sejuk selama 3-4 jam sebelum dihidangkan.
KEK KEJU NUTELLA
Bahan-bahan:
- Hazelnut / Badam – 100gm kisar
- Cream cheese – 500gm
- Nutella – 400gm
- Unsalted butter – 70gm
- Gula aising – 60gm
- Biskut cracker – 250gm
Cara Memasak:
- Patahkan biskut dan masukkan butter serta Nutella sebanyak 1 sudu makan. Blend sehingga hancur.
- Kemudian, masukkan kacang hazelnut atau badam dan gaul sehingga menjadi lembap dan seolah-olah berpasir.
- Masukkan adunan tersebut ke dalam loyang dan tekan sehingga mampat dan simpan dalam peti sejuk.
- Menggunakan mixer, putarkan cream cheese dan gula dan masukkan baki Nutella.
- Tuangkan adunan yang diputar ke atas base dan ratakan dengan berhati-hati.
- Taburkan kisaran kacang di atasnya dan sejukkan selama 4 jam atau lebih dalam peti sejuk sebelum dimakan.
KEK OREO CHEESE
Bahan-bahan:
- Biskut Oreo – 1 paket
- Mentega – 50gm
- Whipping cream – 200gm
- Cream cheese – 250gm
- Yogurt / Susu segar – 2 sudu / suku cawan
- Gelatin – 2 sudu
Cara Memasak:
- Asingkan biskut oreo daripada creamnya.
- Hancurkan biskut tadi sehingga halus untuk dijadikan base.
- Cairkan mentega dalam kuali dan gaul dengan biskut sehingga sebati dan kemudian masukkan adunan ke dalam loyang dan tekan sehingga mampat.
- Simpan sebentar di dalam peti sejuk.
- Menggunakan mixer, putarkan whipping cream, cream cheese, yogurt/susu sehingga kembang dan masukkan sedikit esen vanilla sebagai pewangi.
- Cairkan gelatin dan masukkan ke dalam adunan dalam mixer.
- Masukkan sedikit crumbs oreo dan filling anda telah siap.
- Tuangkan filling ke atas base dan biarkan selama 3 jam dalam peti sejuk sebelum dimakan.
KEK KEJU COKLAT KUKUS
Bahan-bahan:
Bahan (A)
- Telur – 3 biji
- Gula kastor – 260gm
- Ovallete – 1/2 sudu teh
Bahan (B)
- Tepung gandum – 180gm diayak
- Serbuk koko – 50gm diayak
- Baking soda – 1 sudu teh
Bahan (C)
- Susu segar – 1 cawan
- Minyak jagung / minyak masak – 125ml
- Esen vanila – 1 sudu teh
Bahan Lapisan Cream Cheese (D)
- Cream cheese – 250gm
- Gula aising – 20gm
- Telur – 1 biji
Cara Memasak:
- Menggunakan mixer, pukul (D) sehingga sebati.
- Menggunakan mixer, pukul (A) sehingga kembang.
- Masukkan (B) ke dalam (A) dan diselang-selikan dengan (C). Gaul adunan sehingga sebati.
- Kemudian masukkan minyak dan esen vanila. Gaul lagi sehingga rata.
- Bahagikan adunan tersebut kepada 2 bahagian loyang.
- Masukan adunan pertama ke dalam periuk kukus yang dipanaskan dan kukus selama 15 minit.
- Selepas 15 minit, keluarkan kek dan tuang adunan (D) dan kukus selama 10 minit.
- Selepas 10 minit, keluarkan kek dan tuang baki adunan (A) (B) (C) di atasnya dan kukus selama 15 minit.
- Setelah masak, sejukkan dahulu kek sebelum dimakan.
Mudah kan resepi-resepi ini? Lepas ni kamu tak perlu pening lagi kalau mahu membakar kek tetapi tiada oven. Hanya gunakan kuali atau periuk kukus sahaja, kek kamu boleh jadi sedap seperti dibakar menggunakan oven. Selamat mencuba!