Bilik tidur sering dipenuhi dengan perabot-perabot yang tidak sepatutnya. Almari baju, kabinet, meja solek dan ada masanya, sofa juga turut memenuhi ruang legar dalam bilik membuatkan keadaan kelihatan berserabut pada pandangan mata.
Jika ruang bilik tidur anda luas tidak mengapa, tetapi bagaimana andainya bilik terlalu sempit dan hanya ‘muat-muat’ untuk menyumbat katil serta almari sahaja?
Penulis cadang, anda bawa keluar meja solek kerana terdapat cara alternatif yang lebih bijak iaitu dengan menggantikan meja solek besar anda dengan cermin panjang menegak yang secara mudahnya boleh disandarkan ke dinding untuk menerapkan elemen boho bersahaja.
Lebih menarik, penggunaan cermin panjang bisa menampakkan biasan yang menyeluruh! Jadi bolehlah anda melihat diri anda dari hujung rambut hingga hujung kaki setiap kali sedang bersiap.
5 Tips Hias Bilik Guna Cermin Panjang Sebagai Pengganti Meja Solek
#1 Fikir Konsep Terlebih Dahulu
Moden, klasik atau ala bohemian? Jika anda mahu menerapkan konsep klasik dan feminin, boleh manfaatkan cermin panjang gergasi yang berbingkai kerawang, manakala jika mahu konsep bilik yang moden… cari sahaja cermin dalam kalangan rekaan yang minimal namun tetap elegen sebagai contoh, rangkanya dibuat daripada besi atau berbingkai kaca.
Jika sukakan gaya ala bohemian atau hipster, manfaatkan cermin yang mempunyai bingkai diperbuat daripada kayu mahupun sumber-sumber dari alam semulajadi.
#2 Pilih Panjang & Kelebaran Cermin Yang Bersesuaian
Jika keluasan dalam bilik adalah tidak seberapa, boleh cuba cari cermin panjang yang mempunyai kelebaran serdehana besar.
Ini adalah supaya dekorasi nampak stabil dan agar cermin tidak menenggelamkan elemen lain dalam ruangan tersebut.
#3 Hiasi Dengan Lampu Untuk Aura Hipster
Nak menjimatkan ruang dalam bilik sekaligus menjimatkan elektrik?
Boleh guna helah untuk melilitkan lampu fairy lights ini pada keliling cermin. Jadi, pada waktu malam… tak perlulah lagi memasang lampu utama.
Nyalakan sahaja lampu bermentol sebegini untuk serlahkan aura hipster pada hiasan dalaman bilik.
#4 Bingkai Kerawang Tampak Mewah!
Jika ada seorang yang berjiwa eksentrik, anda pasti gemarkan gaya hiasan dalaman yang kelihatan shabby dan rustic. Kata orang, lebih klasik rekaan sesebuah perabot itu, lebih mewah ia akan kelihatan.
Untuk itu boleh menfaatkan cermin panjang gergasi yang memiliki bingkai yang berperincian kerawang untuk terap elemen klasik mewah. Tetamu yang masuk ke bilik pasti kagum dengan cita rasa anda tu nanti!
#5 Letak Berhampiran Sudut Bilik/Tingkap
Jika hendak mendapatkan biasan yang lebih jelas, anda bolehlah meletakkan cermin panjang ini berdekatan dengan tingkap bilik. Selain untuk menatap wajah serta penampilan secara menyeluruh, anda juga boleh mengambil peluang ini untuk merakam selfie #OOTD menerusi cermin sebegini. Barulah stailo!
Sandarkan pada bahagian dinding yang tidak mengganggu ruang legar agar ianya kekal selamat dan tidak mudah dilanggar.
Selamat beramal! ❤