Masih ingat lagi kumpulan muzik wanita Amerika The Pussycat Dolls yang popular sekitar penghujung 90an hingga 2010 sebelum semua ahli kumpulan berpecah membawa haluan masing-masing dek percanggahan konflik dan pendapat yang mempersoal peranan Nicole Scherzinger sebagai vokalis utama.
Pernah hit dengan lagu seperti “Don’t Cha”, “Stickwitu”, “Buttons”, “When I Grow Up” dan “Hush”, mereka akhirnya bakal bersatu semula apabila Nicole baru-baru ini mengumumkan mahu mengadakan beberapa siri persembahan bersama anggota The Pussycat Dolls yang lain selepas hampir satu dekad bergerak secara solo.
“Mereka fikir inilah masa yang cocok untuk melupakan kisah silam termasuk salah faham dan segala isu negatif yang pernah berlaku dalam kumpulan itu suatu ketika dahulu demi meraikan peminat dengan lagu-lagu yang diberi nafas baru,” jelas sumber terdekat.
The Pussycat Dolls popular kerana gaya muzik, fesyen dan gerak tari yang dibawakan dalam lagu-lagu dan persembahannya.
Menurut laporan portal berita The Sun.co.uk, Nicole Scherzinger bersetuju bersama empat ahli The Pussycat Dolls lain termasuk Ashley Roberts, Jessica Sutta, Kimberly Wyatt dan Melody Thornton untuk membuat comeback namun masih menunggu jawapan daripada seorang lagi ahli mereka iaitu Carmit Bachar.
Khabarnya, Carmit tertekan dengan konflik yang berlaku dalam kumpulan itu dahulu malah mengaku bahawa keputusannya untuk tarik diri daripada The Pussycat Dolls adalah kerana isu tidak puas hati dengan Nicole.
Katanya, “Saya akan sertai reunion itu andainya kami hanya berlima (tanpa Nicole) bersama dengan empat ahli yang lain. Tetapi jika berenam termasuk Nicole? Itu tidak akan terjadi sama sekali”.
Tonton Video Muzik “When I Grow Up” oleh The Pussycat Dolls
Biarpun ketika ini rata-rata ahli The Pussycat Dolls teruja untuk bersatu semula namun, nampaknya masih belum ada titik noktah yang jelas sama ada Carmit akan terbuka hati untuk berbaik semula dengan Nicole atau pun tidak. Khuatir akan ada konflik baru pula yang timbul nanti.