Diana Chan yang anak kelahiran Malaysia ini mencetuskan fenomena apabila dinobatkan sebagai juara MasterChef Australia setelah bertungkus lumus menyiapkan sajian di pertandingan finale rancangan tersebut malam semalam.
Tukang masak yang berkhidmat di Melbourne itu mengalahkan saingannya, Ben Ungermann dalam acara sengit. Biarpun begitu, akhirnya Diana mampu menjulang trofi serta wang tunai Dolar Australia berjumlah A$250,000 serta peluang untuk menertai kolum dalam sebuah majalah masakan terkemuka, Delicious.
Antara peserta yang disegani dalam MasterChef Australia musim ini, Diana bisa sahaja membuatkan para pengadil berasa kagum dengan bakatnya bahkan dia juga mampu menyajikan hidangan hebat lagi enak di samping perlu mengharungi masa tekanan bagi menyiapkan sesebuah sajian dalam masa yang diperuntukan.
Antara sajian yang berjaya memikat hati pengadil sepanjang penyertaannya dalam pertandingan memasak ini adalah Red Emperor Fish on Spicy Fragrant Sambal iaitu sejenis lauk yang diadaptasi daripada resepi asal ibunya sendiri.
Untuk pengetahuan semua, kedua ibu bapa Diana juga adalah tukang masak yang hebat dan mungkin dari situlah Diana mendapat ilham untuk mengembangkan minat dan bakatnya dalam bidang kulinari.
Seorang wanita berusia 29 tahun yang khabarnya berasal dari Johor Bahru ini telah berpindah ke Kuala Lumpur sebelum kemudian berhijrah pula ke Australia ketika umurnya genap 19 tahun.
Tahniah buat Diana Chan kerana sedikit sebanyak menyumbang nama kepada Malaysia dan telah berjaya membawa resepi tanah air untuk dipertandingkan di peringkat antarabangsa sekaligus memenangi takhta sebagai tukang masak termahsyur menerusi MasterChef Australia 2017!
Diana adalah anak jati Malaysia yang kedua untuk menjuarai MasterChef Australia selepas Adam Liaw, kelahiran Penang yang juga pernah menyertai pertandingan itu ketika Musim ke-2 dahulu.