Suasana menjadi huru-hara di hadapan Kaabah kelmarin apabila seorang lelaki ada cubaan untuk membakar dirinya sendiri. Namun ianya gagal setelah anggota keselamatan di Masjidilharam berjaya menghalang lelaki tersebut.
Satu video yang tersebar di media sosial menunjukkan anggota keselamatan bergegas menangkap seorang lelaki yang cuba menuang sejenis cecair pada dirinya.
Portal berita Sabq.org yang memetik seorang jemaah berkata, dia melihat lelaki itu menuang sejenis cecair di badannya menggunakan bekas air.
“Apabila saya menyedari cecair itu petrol saya segera memegang bekas itu dan menjerit meminta tolong.
“Beberapa anggota keselamatan berhampiran segera datang dan menangkap lelaki itu,” katanya.
Jurucakap pasukan keselamatan Masjidilharam, Sameh Al-Silmi memberitahu, lelaki itu ditahan pada petang kelmarin selepas menyiram minyak petrol di pakaiannya dan cuba membakar diri.
Katanya, anggota keselamatan yang terlihat tindakan lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu segera menghalang dan menahannya.
Menurutnya, tindakan lelaki yang dilaporkan media berasal dari Afrika itu membuktikan dia mengalami masalah berkaitan mental.
Sameh menafikan khabar angin lelaki itu mahu membakar Kaabah, dan menegaskan dia hanya cuba mencederakan dirinya sendiri.
Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan untuk soal siasat dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadapnya.
https://www.youtube.com/watch?v=YVOp_TRZCxQ