Dewan Rakyat malam ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 atau Bajet 2017 berjumlah RM260.8 bilion tanpa pindaan menerusi proses undi belah bahagi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika mengumumkan keputusan itu berkata, seorang wakil rakyat tidak mengundi manakala 73 menentang dan seramai 105 Ahli Parlimen menyokong.
Rang undang-undang itu dibentang untuk bacaan kali ketiga atas nama Menteri Kewangan yang diusulkan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
“Saya mohon memaklumkan iaitu Jawatankuasa telah menimbangkan usul cadangan dewan ini Rang Undang-undang Perbekalan 2017 dipertimbangkan telah dipersetujui tanpa pindaan.
“Suatu jumlah tidak lebih daripada RM48 bilion dibelanjakan daripada kumpulan wang pembangunan bagi tahun 2017,” kata Johari.
Bajet 2017 dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober lalu dan dibahaskan sejak 24 Oktober, sebelum diluluskan di peringkat dasar pada 7 November lalu dan diluluskan jam 11 malam ini.
Sejak lima tahun lalu, pembangkang sering meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat agar undi belah bahagi dilakukan sebelum sesuatu sesuatu rang undang-undang diluluskan terutama bajet tahunan kerajaan.
INFO Bajet 2017
- Bajet 2017 memperuntukkan RM260.8 bilion
- RM214.8 bilion diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus
- RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan
- RM77.4 bilion untuk emolumen* RM32 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan