Anda tidak akan tahu betapa telitinya pasangan ibu bapa di China apabila ingin memberikan nama pada bayi kesayangan mereka sehinggalah seorang remaja British, Beau Jessup berjaya menjana puluhan ribu pound dengan hanya memberikan nama kepada bayi-bayi di China.
Gadis berusia 16 tahun dari Gloucestershire ini telah menjana £48,000 (RM263,000) dengan hanya membantu pasangan ibu bapa di China untuk memberi nama yang paling cantik dan sedap kepada kelahiran baru mereka menerusi sebuah laman web yang dikenali sebagai “Special Name”. Sehingga kini, laman web berkenaan telah mencipta lebih 234,353 nama untuk bayi.
Beau mendapat idea bernas untuk membangunkan perniagaan ini ketika dia dan keluargnya menyertai satu lawatan ke China, lapor BBC. Ketika sedang makan bersama rakan-rakannya, dia diminta untuk mencipta satu nama menarik untuk bayi baru lahir di dalam Bahasa Inggeris meskipun dirinya boleh dikira sebagai orang asing dan tidak relevan langsung untuk menamakan bayi-bayi yang berkenaan.
Namun, selepas berfikir panjang, melihatkan kebanyakkan nama-nama dalam bahasa China agak tidak sedap didengar, dia meneruskan impiannya itu.
Beau juga sedar bahawa kebanyakkan ibu bapa di China sering kali mahu mendapatkan nama-nama menarik yang diinspirasi dari negara barat, tetapi disebabkan pengaksesan terhadap internet di China adalah terhad, ramai yang menjadi buntu.
Menurut Beau lagi, ramai di antara ibu bapa di China menjadikan nama filem dan nama watak-watak animasi popular Disney sebagai nama untuk anak-anak mereka. “Saya pernah terdengar seseorang memanggil rakannya dengan nama Gandalf dan seorang lagi Cinderella,” tambahnya.
Special Name membolehkan pelawat memilih dan mencipta nama bayi mengikut jantina berserta 5 dari 12 pilihan ciri personaliti. Nama-nama yang dicadangkan oleh laman berkenaan kemudiannya akan dicetak di atas sijil berserta makna nama tersebut, diikuti senarai selebriti popular yang turut memiliki nama sama.
Nama-nama yang telah dipilih oleh ibu bapa kemudiannya boleh dikongsi dengan rakan atau keluarga melalui WeChat sebelum nama yang sebetulnya dipilih.
Buat masa ini, Beau sangat gembira dengan pencapaiannya. Ia bagaikan mimpi dan dia sendiri tidak sangka bahawa perkaar yang boleh dianggap ‘remeh’ sebegini bisa memberikan pulangan lumayan kepadanya.
Untuk pengetahuan anda, ada pasangan ibu bapa di China yang sanggup membayar sehingga RM87,800 semata-mata untuk mendapatkan nama yang paling sempurna untuk anak mereka.