Hari Raya Aidilfitri kali ini menjadi lebih bermakna buat pasangan diraja Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen dan isterinya, Pengiran Anak Isteri (PAI) Anisha.
Menyambut Hari Raya buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri, PAI Anisha telah tampil menggayakan sepasang baju kurung berlabuci dalam rona gray violet, sedondon dengan suaminya.
Semasa menghadiri majlis santapan Hari Raya Aidilfitri yang bertempat di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, PAI Anisha menggayakan sepasang baju kurung labuci, yang disulam corak bunga di seluruh baju dan kainnya daripada Teh Firdaus. Ditambah pula dengan tudung dalam gaya yang minimal serta beg tangan Lady Dior, menjadikan penampilannya itu lebih manis dan elegan!
Manakala Pengiran Muda Abdul Mateen pula mengenakan sepasang baju Melayu dalam rona yang sama seperti isterinya, dilengkapi dengan samping songket berbenang emas dan songkok hitam.
Untuk rekod, Pengiran Muda Abdul Mateen dan Pengiran Anak Isteri Anisha sah menjadi suami isteri selepas melangsungkan perkahwinan diraja pada 11 Januari 2024.