Makan, makan dan makan. Hampir keseluruhan hidup kita dihabiskan dengan mengunyah dan makan. Betul?
Jika tidak makan, mula badan menjadi lemah dan gastrik. Apabila makan, mulalah seseorang itu akan menghidapi penyakit atau mengalami berat badan yang berlebihan. Runsing bila memikirkannya!
Sebenarnya tidak salah untuk makan, tetapi kamu perlu tahu portion yang sesuai untuk badan. Ini kerana makanan akan ditukarkan menjadi tenaga dan jika berlebihan ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Dalam asyik makan, kamu tahu beberapa makanan ini sebenarnya mendatangkan bahaya kepada badan? Jika tidak tahu, mari penulis kongsi info ini.
Tomato
Seperti yang kita tahu, tomato sangat berkhasiat kerana kandungan nutrisi dan vitamin yang memberi manfaat kepada kesihatan badan. Tetapi di sebalik khasiatnya, tomato juga boleh menjadi makanan yang berbahaya kepada kamu.
Beberapa bahagian daripada tomato boleh mendatangkan bahaya dan menjadi racun apabila kamu memakan daun, akar dan tangkainya. Bahagian-bahagian ini mengandungi toksik yang disebut sebagai tomatine.
Buah Epal
“An apple a day keeps the doctor away“, sememangnya ada betulnya tetapi dalam pada masa yang sama buah epal ini boleh menjadi racun kepada kamu.
Bahagian buah epal yang mengandungi racun adalah pada bijinya. Biji epal ini mengandungi amygdalin yang sarat dengan racun yang boleh membawa maut iaitu cyanide.
Bukan hanya makan sekali sahaja boleh mendatangkan maut. Biji buah epal boleh membuat seseorang itu maut jika menelan biji-biji daripada 20 biji buah epal. Jadi, kamu jangan mencuba untuk makan bijinya jika tidak mahu mengancam nyawa.
Asparagus
Asparagus sangat popular dengan kandungan mineral dan seratnya yang tinggi. Hanya batang asparagus muda sahaja yang selamat dimakan.
Tetapi ada beberapa bahagian yang kamu perlu elakkan iaitu buahnya yang berwarna merah terang sebenarnya mengandungi racun. Selepas memakannya, setengah orang boleh menghadapi muntah dan cirit-birit yang teruk.
Kacang Gajus
Sangat popular untuk dimakan sebagai makanan ringan dan digunakan dalam masakan, kacang gajus mengandungi pelbagai sumber serat, unsaturated fat dan mineral.
Jika kamu lihat di pasaran, kacang gajus ini tidak pernah dijual dengan kulitnya. Ini kerana kulit kacang gajus mengandungi phenolic lipids, cardanol dan anacardic acid yang mengandungi toksin yang berbahaya pada manusia.
Ikan Buntal
Apabila ikan buntal berasa terancam, ia akan mula mengembung seperti belon. Ikan buntal ini sangat dikenali dengan racunnya iaitu tetrodotoxin. Tetapi ada yang suka makan ikan ini, pelik bukan?
Racun ikan buntal ini lebih berbahaya 12 ribu kali ganda berbanding cyanide and ia menjadi haiwan yang paling berbahaya. Di Jepun, ikan buntal menjadi makanan yang sangat istimewa kerana ia rendah lemak dan kaya dengan protein.
Kacang Badam
Kaya dengan Vitamin E, lemak yang sihat dan serat, kacang badam ini digunakan secara meluas dalam masakan dan makanan ringan di seluruh negara. Kacang badam ini mempunyai dua rasa yang berbeza, iaitu ada rasa manis dan pahit.
Kacang badam yang manis selamat untuk dimakan. Tetapi kacang badam yang pahit mengandungi tahap cyanide yang tinggi yang boleh membawa maut ketika dimakan. Jumlah cyanide sebanyak 10-70 biji kacang badam boleh mematikan seorang individu dewasa yang sihat dalam sekelip mata.
Elderberries
Buah ini sering digunakan dalam perubatan tradisional yang merawat selesema dan diproses sebagai jem, jus dan syrup.
Elderberries ini selamat dimakan selepas ia betul-betul masak. Tetapi kamu perlu elakkan daripada memakan biji, batang dan daunnya kerana bahagian-bahagian ini mengandungi tahap cyanide.
Jika kamu makan buah elderberries atau bunga yang tidak dimasak, buah-buahan ini boleh menyebabkan kamu mual, muntah dan cirit-birit.
Kacang Buah Pinggang Mentah
Untuk pengetahuan kamu, kacang buah pinggang yang mentah mengandungi tahap toksin yang tinggi iaitu phytohaemagglutinin.
Jika kamu makan kacang buah pinggang mentah ini sebanyak empat sehingga lima biji ia boleh menyebabkan kamu muntah dan cirit-birit dengan teruk.
Toksin ini boleh dikurangkan jika kamu memasak kacang buah pinggang ini terlebih dahulu sebelum memakannya.
Tidak menjadi masalah untuk makan makanan ini tetapi kamu perlu ambil dalam kuantiti yang badan perlukan sahaja. Ingat, makan untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan.