Kenapa banyak sangat krim ni?!
Pernah tak anda keliru atau masih lagi keliru tentang perbezaan krim muka yakni krim siang dan malam.
Agaknya apa sebabnya ada jenama kosmetik memperkenalkan dua krim sekaligus? Ianya kerana kulit pada siang dan malam terdedah pada persekitaran yang berbeza sekaligus memerlukan rawatan yang berlainan.
Wanista rungkaikan kemusykilan tentang perbezaan krim siang dan malam.
Formula dan tekstur krim siang dan malam sebenarnya lain. Krim siang lebih ringan berbanding dengan krim malam yang lebih pekat untuk penjagaan hidrasi menyeluruh dan anti-penuaan. Manakala krim siang pula khas untuk perlindungan sinaran matahari. Jika anda berkongsi krim malam untuk hari siang, nasihat Wanista hentikan! Berkemungkinan itu punca kulit anda jadi berminyak dan terdedah pada bahaya pada sinaran UV.
Fungsi Krim Siang
Fokus pada fungsi krim siang ialah untuk melindungi dan menyokong kulit dari pelbagai risiko bahaya seperti sinaran matahari, radikal bebas, pencemaran dan kimia bahan solekan. Krim siang biasanya dipakai sebelum bersolek untuk kesan solekan flawless dan tahan lama. Tekstur krim siang lebih ringan, cepat menyerap dan pori-pori kulit senang bernafas.
Penggunaan Krim Malam
Jika krim siang untuk melindung, krim malam pula diformulasi untuk merawat. Fokus krim malam untuk memperbaiki, melembab dan menjana semula kebaikan kulit semasa tidur. Ia lebih pekat dan direka untuk memberi kelembapan berpanjangan sepanjang malam. Komponen yang terkandung dalam krim malam seperti retinol, glycolic acid dan hyaluronic acid khas untuk merawat penuaan berbanding krim siang.
Pilihan untuk menggunakan krim siang sahaja atau kedua-duanya adalah mengikut kehendak dan pendapat peribadi masing-masing. Walaubagaimanapun apa yang paling penting pilihlah krim muka yang mempunyai perlindungan kulit anda dari sinaran UV matahari.