Berlangsung sekitar beberapa jam yang lalu, akhirnya pasangan jutawan yang pernah tular sebelum ini dengan kisah lamaran mereka sudah pun selamat bernikah dalam sebuah majlis penuh meriah berlokasi di The Chateau, Berjaya Hill Resort.
Untuk pengetahuan semua, kedua mempelai merupakan waris kepada dua syarikat gergasi di Malaysia di mana, SM Faliq SM Nasimuddin, 33, adalah waris kepada Naza Group manakala Chryseis Tan, 30, adalah waris kepada Berjaya Group.
https://www.instagram.com/p/BerfumwlvMK/?tagged=chrysfaliqeverafter
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin yang juga abang kepada SM Faliq telah memuat naik gambar mereka sah bergelar suami isteri di laman instagramnya.
Gambar sama turut dimuat naik isteri SM Nasarudin, Marion Caunter.
Pasangan itu telah mengumumkan pertunangan mereka pada Julai lepas menerusi laman media sosial, Instagram.
Berasaskan fabrik renda bersulam indah, Chryseis dilihat ayu menyarungkan busana rona gading yang memiliki perincian klasik gaun pengantin.
Malah dalam masa yang sama, masih mengekalkan ciri pakaian tradisi wanita Cina dahulu kala apabila potongan lengan gaunnya dibiarkan meleret sekaligus potongan leher yang tinggi pula umpama disunting daripada gaya Cheongsam.
Rambut panjang miliknya disanggul kemas, sambil disemat dengan layah jarang untuk memperlihatkan aura pengantin ringkas tanpa sebarang tiara atau aksesori sarat lain.
SM Faliq segak mengenakan persalinan nikah Baju Melayu cekak musang serta sampin songket bersulam senada.
Perkahwinan kedua mempelai ini bukan sahaja akan menyatukan dua keluarga jutawan terbesar negara, malah akan membentuk sebuah konglomerat terbesar di Malaysia, dalam bentuk aset, sekiranya terdapat penyatuan korporat di antara Naza Group dan Berjaya Group.
Anak Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dan anak Tan Sri Vincent Tan itu mengikat tali pertunangan semasa mereka sedang bercuti di Marrakesh, Maghribi.