Gemersik dan lontaran suara milik Idayu sudah dapat memberi aura ‘juara’ sejak minggu pertama program AF Megastar 2017. Ramai yang sudah menjangka Idayu bakal bergelar juara dan semalam sudah terjawab apabila setelah 12 tahun bergelar penyanyi, Idayu dinobatkan sebagai Juara AF Megastar 2017.
Idayu yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 3 turut menerima hadiah wang tunai, hadiah percutian selama 10 hari ke Turki, e-Gift daripada Go Shop bernilai RM6,000 dan trofi.
Pada pertandingan akhir itu, Idayu menyanyikan lagu My All nyanyian asal Mariah Carey selain single terbaharu berjudul Selamanya ciptaan Amylea Azizan.
Sementara itu, trofi Ultimate Performer konsert akhir AF Megastar menjadi milik Syamel dan dia mendapat RM3,000. Marsha pula menjadi pilihan peminat apabila memenangi Anugerah D’herbs hasil undian yang dibuat menerusi Instagram dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.
Malam kemuncak tersebut berlangsung di Royal Theatre Shah Alam dan diserikan dengan persembahan istimewa daripada Joe Flizzow dan SonaOne menerusi lagi Apa Khabar dan Havoc’.
Dalam perkembangan lain, program Akademi Fantasia mencatat sejarah apabila ia diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Rancangan Nyanyian Realiti Televisyen Paling Lama Berlangsung iaitu selama 14 tahun.