Penduduk di enam buah kawasan paling terjejas di Terengganu diarah berpindah pagi ini berikutan banjir teruk.
Sehingga jam 8 pagi tadi, jumlah mangsa meningkat lebih 10,734 orang dari 3,161 buah keluarga berbanding 7,752 orang dari 2,279 penduduk malam tadi.
Operasi menyelamat telah berjaya memindahkan penduduk di sekitar 124 pusat bantuan.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan enam sungai di empat daerah kini telah melepasi paras bahaya.
Laman web berkenaan turut menyatakan di Hulu Terengganu sekurang-kurangnya 3,610 orang dari 1,161 keluarga mencari tempat berlindung di 34 buah pusat bantuan berbanding hanya 2,836 orang dari 862 buah keluarga di 29 pusat bantuan malam tadi.
Di daerah Setiu, seramai 1,597 orang dari 531 buah keluarga mencari perlindungan di 12 pusat bantuan manakala di Kemaman, mangsa meningkat 894 orang dari 244 keluarga di mana semuanya mencari perlindungan di 16 buah pusat bantuan.
Tidak ketinggalan di Dungun, mangsa yang diselamatkan meningkat 451 orang dari 120 keluarga yang ditempatkan di 10 buah pusat bantuan berbanding hanya 358 malam tadi.
Di Marang pula, 30 mangsa dari 10 buah keluarga masih lagi mencari perlindungan di Pusat Bantuan SK Pasir Putih.