Dilaporkan, pusat tarikan terkenal di Singapura, Underwater World Singapore (UWS) ditutup secara rasmi pada 26 Jun selepas beroperasi selama 25 tahun.
Orang ramai termasuk pelancong asing tidak melepaskan peluang untuk melihat ribuan ekor ikan serta hidupan laut di pusat tersebut yang terletak di Pulau Sentosa sebelum pintunya mula ditutup buat selama-lamanya.
Pulau peranginan popular itu turut menempatkan Resort World Sentosa dan taman tema antarabangsa Universal Studio Singapore selain 14 buah hotel, dua padang golf dan pantai berpasir sepanjang dua kilometer.
Media melaporkan, belum lagi dapat dipastikan ke mana makhluk akuatik akan dipindahkan kelak namun ada laporan menyatakan ia bakal dipindahkan ke taman air Chimelong Ocean Kingdom di Zhuhai, China.
Pengendalinya, Haw Par Corporation, mempunyai masa kira-kira dua tahun untuk mencari tempat baharu untuk menempatkan semua ikan dan hidupan laut itu sebelum tempoh sewanya tamat berakhir pada Ahad lalu.