Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menambah koleksi kejuaraan ke-11 kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, di sini semalam.
Chong Wei, yang juga pilihan kedua kejohanan, menguasai set pertama dengan mengalahkan pemain nombor satu dunia Chen Long 21-13 pada perlawanan akhir tersebut.
Laungan “Lee Chong Wei” oleh hampir 10,000 penyokong tempatan terus membakar semangat pemain nombor empat dunia itu untuk tampil lebih agresif pada set kedua.
Chong Wei terus mempamerkan ketangkasannya untuk meninggalkan pemain dari China itu 11-3, sebelum memenangi set kedua 21-8.
Chong Wei memenangi kejohanan berkenaan pada 2004-2006 dan 2008-2014.
Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyampaikan hadiah kepada pemenang acara perseorangan lelaki.
Chong Wei berkata beliau tidak menyangka dapat mengalahkan Chen Long dengan mudah terutama pada set kedua.
“Set kedua saya mendahului perlawanan dengan jurang mata yang jauh. Walau apapun strategi dilakukan Chen Long, yang penting saya mendapat lebih keyakinan pada perlawanan hari ini.
“Terima kasih kepada penyokong. Sokongan mereka adalah motivasi terbaik untuk saya terutama dalam lima bulan lagi sebelum ke Olimpik,” kata Chong Wei.
Dalam pada itu, harapan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk meraih kemenangan bersejarah gagal apabila tewas kepada beregu nombor dua dunia Tontowi Ahmad-Liyana Natsir dari Indonesia pada final hari ini.
Set pertama menyaksikan beregu negara memberi tentangan sengit sebelum tewas kepada pasangan Indonesia itu 21-23.
Peng Soon-Liu Ying kemudian bangkit menewaskan pihak lawan 21-13 pada set kedua, namun gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tumpas 16-21 di set penentuan.
“Kami sudah mencuba walaupun bukan yang terbaik. Mara ke final, kami sudah gembira. Prestasi kami hari ini semakin baik tetapi tidak konsisten seperti mereka,” kata Peng Soon.
Liu Ying pula berkata kombinasinya dengan Peng Soon semakin mantap dan akan berusaha lebih gigih untuk persiapan ke Sukan Olimpik 2016.
“Bagi saya, setiap perlawanan adalah proses pembelajaran, dari situ kami akan sentiasa memperbaiki kelemahan,” katanya. -Bernama