Pihak pengurusan Tesco Extra Bercham di sini mengakui berlaku insiden anjing dibawa masuk pelanggan ke dalam pasar raya berkenaan menggunakan troli yang menjadi viral di laman sosial Facebook, kelmarin.
Tesco Malaysia melalui laman Facebooknya memaklumkan semua troli di pasar raya berkenaan sudah disamak mengikut syarat ditetapkan agama dan meminta maaf berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, kejadian berkenaan disifatkan sebagai tidak menghormati sensitiviti agama lain terutamanya agama Islam.
“Daripada segi syarak tiada masalah, namun kejadian itu perlu diambil iktibar oleh pihak pengurusan dan orang ramai supaya lebih peka dan tidak mengambil mudah sebarang perkara membabitkan agama”, katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, orang ramai menzahirkan kekecewaan berhubung kejadian itu menerusi laman sosial Facebook dan mahu larangan keras ke atas pengunjung bahawa tiada haiwan peliharaan dibenarkan masuk ke dalam pasar raya.