Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku trilogi ‘Fifty Shades of Grey’, tiga tahun selepas buku-buku berkenaan dijual di Malaysia.
Ketiga-tiga buku berkenaan, ‘Fifty Shades of Grey’, ‘Fifty Shades Darker’ dan ‘Fifty Shades Freed’ diharamkan kerana ia boleh menyebabkan kejatuhan moral, menurut perintah warta persekutuan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Novel erotik oleh penulis Britain E.L James itu mengisahkan hubungan luar biasa antara pelajar perempuan dengan seorang jutawan muda.
Selain daripada penjualan buku berkenaan, kerajaan juga mengharamkan membawa masuk, mencetak atau menyimpannya.
Pengharaman itu dibuat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tak Diingini) Perintah 2015, dan bertarikh 24 Februari.
Perintah berkenaan dikeluarkan kementerian selepas Lembaga Penapisan Filem mengharamkan adaptasi filem Fifty Shades of Grey kerana ia mengandungi babak seks luar biasa dan sadis termasuk di mana wanita itu diikat dan disebat.
Di Amerika Syarikat, filem Sam Taylor-Johnson itu diklasifikasi ‘R’ kerana babak seks keterlaluan. Namun begitu, filem berkenaan berjaya meraih lebih RM500 juta di seluruh dunia.
Sumber: The Rakyat Post