Malaysia mengharamkan penayangan filem erotik, Fifty Shades Of Grey. Bukan sahaja Malaysia, negara jiran Indonesia turut melaksanakan perkara yang sama. Walaubagaimanapun, penggemar Fifty Shades of Grey tidak perlu lagi berasa bimbang kerana Singapura masih membenarkan tayangan filem erotik popular itu.
Filem yang diadaptasikan daripada novel dengan tajuk sama, Fifty Shades of Grey karya penulis British, E.L. James itu akan ditayangkan di Singapura langsung tanpa sebarang adegan seks dipotong.
Namun begitu, filem itu masih diberi klasifikasi sebagai R21 daripada Lembaga Penapis Filem dengan disertai satu panduan nasihat bahawa cereka layar perak tersebut mempunyai tema matang dan adegan seks. Ini bermakna hanya penonton berusia 21 tahun dibenarkan memasuki pawagam terlibat bagi menghayati karya seni bersifat lucah yang dipetik daripada novel tersebut sehingga berjaya dijual lebih 100 juta naskhah dalam 52 bahasa di seluruh dunia.
Dilaporkan tiket filem ini laris habis dijual sejak beberapa hari lalu di Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Kanada walaupun ia diberi klasifikasi ketat tontonan dewasa kerana banyak babak seks ganas tidak sesuai untuk remaja dan kanak-kanak.
Di Malaysia, filem terbitan Universal Pictures itu sepatutnya ditayangkan pada Khamis, namun dibatalkan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia pada 5 Februari kerana ia terlalu lucah dan dibimbangi memberi kesan besar kepada penonton.
Malah, kakak kepada penyanyi Dafi, Nina juga sanggup turun ke Singapura semata-mata ingin menyaksikan Fifty Shades Of Grey. Menerusi laman Instagram, Nina isteri kepada pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie berkongsi foto booking tiket filem tersebut yang dibuat secara online.
Mynewshub & Ohbulan