Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian makanan unik dan lazat yang boleh anda cuba. Salah satunya adalah di negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan. Orang kelahiran Kelantan mungkin sudah biasa dengan makanan-makanan tradisional mereka, namun pada mereka yang bukan anak jati Kelantan, rugi sekiranya berkunjung ke sana, tetapi tidak cuba merasai keunikan dan keenakan makanan mereka.
Jom, kami perkenalkan kepada anda 16 makanan paling popular di negeri Kelantan yang patut anda cuba.
Kuih Akok merujuk kepada sejenis kuih tradisi tradisional yang popular di Kelantan. Terdapat beberapa jenis Kuih Akok iaitu berbentuk bujur, mengikut acuan bahulu dan Akok Bunga yang dikenali juga sebagai Akok Kemboja. Akok rasanya manis bertelur. Cara adunan dan pembakaran merupakan faktor yang menjadikan sesuatu kuih akok itu sedap.
Nasi Kerabu merupakan hidangan nasi Melayu, sejenis nasi ulam dimana nasinya berwarna biru dan dimakan dengan ikan kering atau ayam goreng, solok lada, keropok, jeruk dan sayur atau ulam yang lain. Warna biru nasi terhasil daripada kelopak bunga kembang telang yang digunakan dalam masakan itu. Nasi ini boleh juga dimasak sebagai nasi putih atau nasi menggunakan kunyit.
Kuih Tahi Itik merupakan sejenis kuih yang dibuat menggunakan telur dan disira panas dalam air gula. Ia dibentuk bertempek-tempek seperti tahi itik. Kuih ini disediakan dengan menggunakan putih telur yang telah diasingkan daripada kuning telur. Selepas itu, putih telur yang telah diasingkan itu akan disira dengan dimasak dalam air gula pekat dan dituang sedikit demi sedikit bagi menghasilkan bentuk akhir.
Kuih Jala Mas merupakan sejenis hidangan kuih tradisional Melayu yang lemak manis dihasilkan dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula. Ia disediakan dengan kuning telur yang diurai ke dalam air gula yang menggelegak. Selepas beberapa lama apabila masak, adunan itu diangkat dan kemudiannya ditompokkan pada bahagian kecil atau juga boleh diletak begitu sahaja dalam bekas.
Makanan Kelantan banyak dipengaruhi dengan rasa yang manis seperti Kuih Lompat Tikam ini. Ia mempunyai dua lapisan iaitu lapisan tepung beras yang biasanya berwarna hijau di bahagian bawah dan lapisan santan yang berwarna putih di bahagian atas. Bahagian ini dibuat tawar kerana ia dimakan bersama air manisan atau gula kabung dan sesuai diminum bersama air putih.
Kuih Bunga Tanjung yang begitu sinonim dengan negeri Kelantan adalah sejenis kuih yang dibuat menggunakan telur bercampur tepung dan disira dalam air gula. Ia dibentuk dengan menggunakan acuan dan dibentuk seperti titisan air yang berwarna kuning, tetapi boleh juga dibentuk dengan pelbagai bentuk lain mengikut citarasa pembuatnya.
Ayam Percik Kelantan sememangnya begitu lazat dan menyelerakan. Kuahnya yang berbeza dari tempat lain menjadikan ayam percik Kelantan begitu unik dan digemari ramai.
Nasi Tumpang istimewa dari Kelantan ini merupakan gabungan nasi bersama lauk yang diletakkan di dalam daun pisang dan digulung menjadi bentuk kon. Lauknya terdiri daripada masak lemak ikan, udang, serunding, sambal daging dan lain-lain lagi mengikut citarasa pembuatnya. Biasanya kelongsong daun pisang akan dibuat terlebih dahulu dan dimasukkan nasi panas seakan nasi impit yang akan diletakkan berselang-seli dengan pelbagai jenis lauk.
Laksam amat terkenal sebagai salah satu menu sarapan pagi di negeri Kelantan. Laksam yang diperbuat daripada tepung beras dan tepung jagung ini dimakan bersama kuah ikan bersantan pekat. Lebih enak sekiranya digaul bersama ulam-ulaman dan sambal belacan.
Budu adalah sejenis sos ikan yang cukup terkenal di Kelantan yang biasanya dimakan bersama nasi dan ulam-ulaman. Ia diperbuat daripada ikan bilis dan garam yang diperam sehingga memberikan rasa dan bau yang unik. Bukan sahaja rasanya yang sedap malah ia juga sumber terbaik Vitamin B12 dan garam galian seperti kalsium, natrium, magnesium, zat besi dan fosforus.
Nasi berlauk ayam dipotong kecil-kecil, digoreng dengan campuran rempah tersendiri, dan gulai dengan resepi tersendiri ditambah dengan sambal belacan cukup memberi rasa enak tatkala dimakan panas-panas pada waktu tengahari. Nasi Kak Wok ini sangat popular di kawasan Kota Bharu dan kini, boleh juga didapati di kawasan Lembah Klang.
Kuih Badak Berendam merupakan sejenis kuih tradisional yang popular di Malaysia, terutamanya di negeri Pantai Timur. Kuih ini terdiri daripada adunan tepung beras yang digentel bulat dengan inti kelapa bercampur manisan. Bahagian tepung ini dibuat tawar kerana ia mempunyai inti yang manis dan dimakan bersama kuah santan kelapa bagi memberikan rasa lemak.
Kuih Asam Gumpal merupakan sejenis hidangan kuih tradisional Melayu yang lemak manis dan dihasilkan dengan menggunakan sagu mata ikan atau sagu biji dengan inti dan dimasak dalam kuah santan. Sagu biji yang telah direbus dengan air, dicampurkan dengan garam bagi membangkitkan rasa. Selepas itu, sagu yang telah dimasak akan diisi dengan inti dan dijemput dengan tangan kepada bentuk akhir. Biasanya, kuih ini akan digumpal menjadi bulat sebesar satu gumpalan tangan. Ia kemudiannya akan dimasak dalam kuah santan sehingga pekat. Campuran gula merah, halia dan halba juga ditambah bagi menambahkan rasa.
Pulut Bakar ini disediakan dengan beras pulut, santan pekat, gula pasir, bunga cengkih dan halba. Ia berbeza dengan pulut panggang yang biasa dimakan di negeri lain.
Ketupat Sotong bukanlah ketupat yang selalu dimakan pada hari raya, tetapi Ketupat Sotong ini menggunakan pulut yang diisikan ke dalam sotong kemudian dimasak dengan gula Melaka dan bahan-bahan lain.
Etak atau turut dikenali sebagai Etok-Etok merupakan sejenis hidupan seperti kerang. Tetapi, yang menariknya adalah ia hanya popular di negeri Kelantan.