Satu pasukan penyiasatan khas ditubuh di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara bagi meneruskan siasatan, berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah beg di dalam parit Jalan Belimbing, Kampung Bukit Kapar, Meru di sini, pagi kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, belum ada tangkapan dibuat pihaknya berkait kes yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh itu.
Menurutnya, polis masih menunggu keputusan dan laporan bedah siasat untuk mengetahui sebab serta punca kematian mangsa bagi membantu siasatan.
“Mayat mangsa sudah reput, lengkap berpakaian dan dikenalpasti sebagai seorang wanita dewasa namun identiti serta umurnya belum diketahui.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat dan sebarang spekulasi tidak benar yang diviralkan di media sosial sejak kelmarin.
Dalam laporan di media sosial itu katanya, ada pihak mengatakan mayat ditemui seorang kanak-kanak dan dikaitkan dengan kes penjualan organ.
“Saya dah jelaskan semalam dalam laman sosial Polis Selangor, biar polis jalankan siasatan lanjut, saya minta orang ramai hentikan spekulasi tanpa fakta sahih daripada pihak polis,”katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Subang Jaya, di sini.
Semalam akhbar melaporkan mayat dipercayai seorang wanita disyaki dibunuh ditemui dalam sebuah beg pakaian dalam parit di Lot 2817, Jalan Belimbing, Kampung Bukit Kapar, Meru.
Beg pakaian berwarna hitam jenama Polo itu ditemui penduduk kampung kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang di dalam parit berkenaan.