Tandam awam terbuka? Merepeknya! Ini adalah tandas awam untuk lelaki di tempat awam yang hanya menutup bahagian pinggang sahaja.
Difahamkan, lapan tandas awam dilaporkan sudah digunakan di Chongqing, sebuah bandar raya di barat daya China dan ia menerima lebih 14,000 komen daripada orang ramai menerusi media sosial tempatan.
Tandas tersebut cukup mengejutkan pelbagai pihak dengan reka bentuknya yang sengaja dibuat agak terbuka, tanpa dinding mahupun bumbung sekali gus lebih mesra alam kerana cukup sinaran matahari dan angin!
Uniknya, ia dibina terletak bersebelahan sahaja dengan sebuah taman permainan kanak-kanak, di pusat bandar Chongqing yang dihuni 30 juta penduduk dan sememangnya terkenal dengan pelbagai bentuk tandas yang pelik.
Tandas konsep terbuka berkenaan hanya mempunyai sebuah pintu kecil untuk menutupi bahagian pinggang yang tentunya akan terdedah sedikit apabila pengguna sedang membuang air kecil tanpa memalukan si lelaki tersebut.
New China TV melaporkan bahawa seorang tukang bersih ditugaskan untuk membersihkan lantai tandas sekerap mungkin. Meskipun begitu, laporan berkenaan tidak pula menyatakan sama ada pihak berkuasa bandar raya berkenaan ada menerima sebarang aduan tentang keadaan keterbukaan seni bina tandas-tandas tersebut.
Sebenarnya tujuan asal pembinaan tandas sebegini untuk mendidik golongan lelaki dewasa yang dikatakan gemar buang hajat mereka merata-rata tempat sehingga menyebabkan banyak kawasan awam berbau hancing kencing.