Koleksi sedia dipakai Jovian (Ready-To-Wear) baru-baru ini merungkai teka-teki anda berkenaan kolaborasi terkininya bersama dengan seorang puteri raja termahsyur tanah air.
Kesemua rekaan yang terdapat dalam koleksi eksklusif Tunku Tun Aminah x Jovian adalah berlatarkan elemen yang agung serta penuh dengan keperibadian elegen si tuan puteri. Untuk pengetahuan anda, hampir separuh idea kelahiran koleksi baharu Jovian adalah berlandaskan inspirasi yang disunting terus dari puteri tunggal Johor ini, Tunku Tun Aminah.
Menampilkan 21 jenis rekaan yang mewah lagi menawan, reka bentuk setiap persalianan diilhamkan sepenuhnya untuk membuahkan aura gaya dan personaliti peribadi Tunku. Manakala nama-nama yang diberi ke atas setiap satu persalinan istimewa koleksi ini pula adalah dipetik dari nama-nama milik kaum kerabat serta sahabat handai Tunku sendiri.
Dengan tercetusnya idea gemilang kolaborasi berprestij Jovian, orang ramai serta peminat setia gaya fesyen Tunku yang dianggap artistik itu bisa merasai pengalaman untuk memiliki sekaligus memakai persalinan pakaian tradisional yang telah diberi nafas baru, dalam pada mendapat sentuhan diraja.
Dari pemilihan fabrik, palet warna serta perincian hiasan, semuanya dilakukan sendiri oleh Tunku, merujuk kepada kegemaran dan cita rasa dirinya.
Seperti yang anda sedia maklum, Tunku sememangnya sukakan perincian gaya classy seperti sulaman manik mewah. Oleh itu, hampir kesemua 21 rekaan dihiasi sulaman manik, terutama di bahagian lengan baju dan di sekitar permukaan badan baju. Jelas Tunku, beliau memang sengaja meletakkan hiasan sebegitu pada badan pakaian supaya wanita yang bertudung pun boleh turut bergaya dengan koleksi Tunku Tun Aminah x Jovian dari Jovian Mandagie.
Selain daripada gemerlapan hiasan sulaman manik, perincian menonjol lain seperti tekstur krep dan lipatan asimetri di samping penggunaan fabrik chiffon bercorak, sutera mewah dan organza bisa sahaja menambah seri pada setiap sisi rekaan koleksi itu.
Jovian sentiasa komited untuk menyediakan pakaian mewah yang berkualiti pada harga mampu milik. Untuk koleksi eksklusif yang dirangka bersama Tunku Tun Aminah ini, Jovian menawarkan harga berpatutan yang bermula dari RM459 hingga RM1488 sepasang.
Anda boleh mula mendapatkan koleksi Tunku Tun Aminah x Jovian di Doubletree Johor Bahru pada 27 Februari 2016 ini dan 2 Mac 2016 nanti di gedung atas talian Zalora serta butik Jovian Mandagie sekitar Kuala Lumpur.
10 peratus daripada hasil jualan koleksi ini akan disalurkan kepada badan kebajikan Persatuan Cerebral Palsy Johor, PCPJ. Untuk maklumat lanjut berkenaan koleksi terkini Jovian Mandagie, sila layari jovianmandagie.com