Berjalan-jalan di pusat membeli-belah kejiranan baru-baru ini telah membawa penulis kepada sebuah kafe yang menarik iaitu Baci Italian Café yang terletak di tingkat bawah Citta Mall, Ara Damansara. Ditubuhkan pada tahun 2011, Baci, satu jenama tempatan oleh Chaswood Resources Ltd membentangkan tema Eropah dan menangkap intipati sebuah kafe gaya Itali. Kafe yang menarik dan selesa ini mempunyai seni lukisan kopi, lekapan kayu, dapur terbuka dan barisan barista khas yang terlatih dalam penyediaan kopi berkualiti Itali, kopi Lavazza.
Menghidangkan kepelbagaian makanan yang diilhamkan daripada negara Itali, daripada sandwich dan salad buatan tangan — di mana pengunjung dapat memilih topping sendiri dan bahan-bahan mereka — sehinggalah pizza, pasta, sup dan aneka kek, Baci mengetengahkan suasana yang selesa dan mesra pelanggan; menjadikannya tempat yang sesuai untuk menikmati makanan dan perjumpaan kasual bersama teman dan keluarga.
Baru-baru ini Pengurus kafe mendedahkan bahawa Baci telah menjalani rombakan menu bagi menambahkan lagi variasi menu mereka yang lazat.
Antara menu highlight di sini adalah, Spicy Chicken Sandwich (RM16.90). Nikmati kepingan dada ayam panggang yang diperap dengan sos khas Baci bersama sedikit jintan putih dan emping cili disajikan bersama romaine segar, hirisan tomato dan bawang pada roti ciabatta dengan sapuan bijirin penuh mustard mayo. Sandwich ini amat enak dan menyegarkan. Sesuai juga jika anda ingin berkongsi dengan teman kerana saiz hidangannya agak besar dan mengenyangkan.
Jika anda sukakan pasta, Baci’s Smoked Duck & Shiitake Spaghetti (RM19.90) adalah pilihan yang tepat. Rasanya yang sedikit pedas sangat padan digabungkan bersama sentuhan masam limau dihidangkan bersama hirisan dada itik salai yang banyak, tomato ceri tumis, bayam dan cendawan shiitake segar, dihidangkan juga bersama sekeping roti bawang putih bakar untuk melengkapkan pengalaman Itali yang sebenar. Bagi penulis sendiri yang merupakan penggemar tegar pasta, pasta ini amat menepati deria rasa penulis. Sedap, wajib cuba!
Hidangan signature kafe ini adalah Chicken & Mushroom Pie (RM18.90). Pastri yang diletakkan di atas periuk kecil yang menghidangkan sup berkrim enak yang mempunyai bawang, dada ayam, cendawan, lobak merah, kentang chat Australia dan kacang hijau yang dimasak dengan sedikit herba Itali ini amat menyelerakan. Koyakkan pastri diatas dan makan bersama sup pekat yang sedap ini akan membangkitkan selera anda. Pasti mahu lagi!
Satu lagi hidangan klasik Baci adalah Oxtail Stew (RM23.90). Penulis diberitahu bahawa hidangan ini menjadi pilihan utama pelanggan yang singgah ke Baci. Ia mengingatkan kita kepada comfort food Eropah yang terbaik. Hidangan ini mempunyai lobak, saderi dan ekor lembu yang sangat lembut; dimasak selama 4 jam dalam stok daging lembu berperisa — dihidangkan dengan mash potato bawang putih dan sepotong roti Tuscan bakar. Penulis sendiri pun amat sukakan hidangan ini. Dagingnya yang amat lembut dan kuah yang enak, memang boleh dikategorikan sebagai hidangan 5 bintang!
Bagi pencinta pizza pula, 9″ Bolognese Pizza (RM20.90) sangat sesuai kerana kerak nipis pizza yang digabungkan dengan sos bolognese daging cincang dan semestinya keju amat menyelerakan dan simple.
Teringin sesuatu yang manis dan sedap?
Nikmati pelbagai jenis kek dan pastri yang enak seperti: Heavenly Tartufo (RM19.50 sepotong), Happiest Rainbow Cake (RM15.50 sepotong) dan Mini Macaroons (RM3.00 sebiji). Betul-betul sedap dan berbaloi untuk dicuba terutamanya kek yang pertama itu, Heavenly Tartufo.
Seterusnya, padankan pencuci mulut pilihan anda dengan White Flat (RM8.90) atau Berperisa Latte atau Cappuccino (Hazelnut, Tiramisu, Butterscotch) (RM10.90).
Okey, mari penulis bawa anda melihat lagi keadaan kafe ini yang sangat menarik!
Untuk makluman semua juga, Pengurus (Store Leader) Baci Italian Café, Quentin Alexander Smith adalah seorang yang amat berdedikasi dalam menguruskan kafe ini. Beliau juga amat peramah dan mesra dengan setiap pelanggan yang mengunjungi kafe ini. Anda pasti akan berasa seperti di rumah dengan suasana kafe yang tenang, cantik dan juga layanan mesra daripada Pengurus kafe sendiri dan sudah semestinya semua pekerja di Baci Italian Café. Percaya lah, penulis sendiri telah merasai pengalaman tersebut!
Bagi bulan November, Baci sedang menjalankan kempen amal untuk menganjurkan majlis makan tengah hari (bufet mewah) untuk anak-anak Persatuan Kebajikan Ti-Ratana pada 7 Disember 2014. Ti- Ratana adalah sebuah organisasi kebajikan yang menguruskan 6 buah rumah perlindungan untuk kanak-kanak , orang tua dan wanita yang terletak di Bangsar, Puchong, Klang, Penchala, Cheras dan Kepong.
Jadi, jika anda berkesempatan untuk singgah di Citta Mall Ara Damansara, jangan lupa singgah di Baci dan menderma bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan.
Baci Italian Café terletak di Lot G47, Ground Floor, Citta Mall, No.1, Jalan PJU 1A/48, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Untuk maklumat lanjut, layari Baci atau lawati Facebook Baci.