Anda teruja dengan kedatangan beribu panda ke Malaysia? Tetapi mesti anda ingin tahu untuk apa kedatangan haiwan yang comel ini?
Dalam perjalanan mereka ke seluruh dunia untuk mempromosikan mesej tentang pemuliharaan panda dan pembangunan yang lestari, sebanyak 1,600 Panda akan melawat melebihi 15 lokasi ikonik di seluruh negara sempena acara “Siri Jelajah 1,600 Panda di Malaysia”. Dengan tema ‘Mencetus Budaya Pemuliharaan yang Kreatif’, siri jelajah ini akan diadakan mulai 21 Disember 2014 hingga 25 Januari 2015 buat pertama kalinya di Malaysia.
Mencetuskan kegilaan di media sosial dan mendapat penyertaan menggalakkan di seluruh dunia, 1,600 panda bakal tiba di Malaysia, lima tahun selepas tampil buat pertama kali di Perancis. Siri Jelajah Dunia 1,600 Panda dimulakan pada tahun 2008 sebagai satu kerjasama di antara WWF dan artis popular Perancis, Paulo Grangeon. Sejak itu, ia telah muncul di lebih 100 buah pameran di beberapa buah negara seperti Perancis, Belanda, Itali, Jerman, Switzerland, Taiwan dan Hong Kong. Malaysia merupakan lokasi ketiga buat 1,600 panda ini di rantau Asia selepas Hong Kong.
“Siri Jelajah 1,600 Panda di Malaysia” bertujuan mendidik orang ramai mengenai kepentingan pemuliharaan panda dan pembangunan lestari. Secara simboliknya menggalakkan rakyat Malaysia agar lebih peka dengan alam sekitar dan keperluan untuk memuliharanya.
Semua 1,600 panda itu akan berada di lebih lima belas lokasi ikonik di Malaysia. Justeru, orang ramai berpeluang untuk melihat panda-panda ini dengan lebih dekat. Maklumat lokasi akan didedahkan tidak lama lagi, jadi nantikan.