Tahap kematangan seseorang bergantung pada tutur cara, pergaulan, permikiran dan personaliti, dan rasanya bukan pada usia. Kenapa penulis katakan begitu?
Ada orang usia 20-an masih muda tetapi sudah dewasa melebihi usia mereka, dan ada pula orang tua yang masih bertindak kebudak-budakan, hanya memikirkan diri mereka sendiri, entahlah…
Macam mana nak tahu seseorang itu dah matang, ini yang nak kena tahu tanda-tandanya.
Hormati setiap pendapat
Bila anda boleh menerima dan menghormati setiap pandangan yang berbeza. Anda tahu bahawa tiada siapa yang sebenarnya salah, cuma itu adalah pandangan mereka yang berbeza dengan pandangan anda.
Anda memahami hakikat bahawa setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza dan pendapat yang tidak sesuai dengan anda tidak semestinya salah. Dengan cara ini, anda lebih positif dan profesional, anda tak suka create drama dalam hidup.
Tak mudah terganggu emosi
Daripada merasa tersinggung dan beremosi dengan kata-kata orang, sebaliknya anda boleh tetap tenang dan tidak mudah provokasi oleh emosi walaupun ketika itu anda berhadapan dengan situasi yang agak mengganggu.
Anda tidak cepat melenting dan terkesan dengan perbuatan mereka kerana ia hanya akan mencipta lebih banyak drama yang merosakkan kehidupan anda.
Dapat menerima keadaan diri sendiri
Anda dapat menerima diri anda dengan lebih realistik dan tidak cuba membandingkan hidup dengan orang lain. Anda percaya bahawa setiap orang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Berfikir sebelum bertindak
Seorang yang matang pasti akan berfikir sebelum mengambil tindakan. Mereka tahu apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukannya. Mereka tidak akan terburu-buru dalam mengambil langkah dalam hidup, sebaliknya berfikir dan bertanya pandangan orang lain juga.
Anda lebih bertanggungjawab
Anda menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dan tidak lari daripada masalah yang datang. Anda akan berusaha menyelesaikan tanggungjawab dengan sendiri sebaik mungkin, tanpa melibatkan atau membebankan orang lain.
Dalam dunia media sosial juga, jika anda lakukan perkara ini… anda dah matang.