Tengok sahaja berita di televisyen, media sosial atau mana-mana platform yang lain, isu berkaitan dengan daging kartel pasti hangat diperkatakan.
Ini kerana sindiket yang menyeludup daging sejuk beku daripada beberapa negara seperti China, Ukraine, Brazil dan Argentina telah diketahui oleh pihak berkuasa apabila mereka membungkus semula daging tersebut dan menggunakan logo halal.
Tindakan yang dilakukan adalah untuk menyakinkan pemborong di Malaysia untuk mempercayai daging sejuk beku itu dibawa masuk daripada negara yang dibenarkan pengimportan sebelum diedar ke dalam pasaran.
Jadi, macam mana isu daging kartel ini dibongkar?
#1 Pendedahan Daripada PPIM & Sinar Harian
Melalui artikel yang dikeluarkan oleh Sinar Harian dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), mereka telah melaporkan beberapa syarikat ejen freight fowarder telah mengambil jalan mudah.
Situasi ini merujuk kepada proses pengimportan daging yang tidak mempunyai status halal dan tidak menerima kelulusan sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Modus operandi penyeludupan daging kartel ini adalah ‘orang dalam’ memberi pelepasan untuk membawa masuk daging dari benua Amerika (Bolivia) menggunakan dokumen palsu.
Dalam pada masa yang sama mereka juga telah menghasilkan kotak dan pelekat yang menyerupai pembungkusan daging yang mempunyai sah halalnya.
#2 MAQIS Cabar Untuk Lapor
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mencabar semua pihak untuk melaporkan tindakan ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita perlu tahu perkara yang sebenar dan informasi yang berkenaan dengan dakwaan tersebut. Ini kerana ia melibatkan makanan halal dan boleh mengelirukan dan membuatkan pengguna jadi panik,” ujar Ketua Pengarah MAQIS.
Bagi mereka yang mempunyai maklumat berkaitan dengan penyeludupan itu, mereka boleh menghantar kepada MAQIS dan juga buat laporan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
#3 Penyerbuan Gudang Di Senai
Sindiket pembungkusan daging kartel yang menggunakan logo sah halal ini terbongkar apabila gudang di Senai diserbu oleh pihak berkuasa.
Syarikat yang menyeludup daging ini dikatakan menggunakan dokumen palsu seperti borang Kastam, permit import, sijil halal dan resit bayaran.
Hasil risikan yang dilakukan telah membongkarkan kegiatan sebuah syarikat yang menyamar sebagai syarikat daging sejuk beku yang menjadikan gudang tersebut sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak yang dibungkus semula.
Daging sejuk beku tersebut dijumpai dalam satu bilik khas yang dilengkapi dengan alat pemotong yang bertujuan khas untuk disimpan dan dibungkus semula.
Hasil serbuan yang dilakukan, pihak berkuasa telah menyita sebanyak 1500 tan daging sejuk yang bernilai RM30 juta.
#4 Tiada Sijil Halal & Pencampuran Daging
Hasil siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menemui satu resit penghantaran pesanan yang membawa keluar organ dalaman babi daripada gudang tersebut pada 5 November 2020.
Selain gudang ini tidak memiliki sijil halal yang sah, MAQIS mendapati beberapa daging beku yang disimpan mengandungi daging itik dan kaki angsa. Daging itik ini dibawa masuk daripada Perancis.
Manakala daging sejuk beku yang lain dibawa masuk daripada United Kingdom, Itali, Belgium dan Sepanyol berdasarkan tag dan label pada kotak yang belum dibungkus semula.
#5 30 Pusat Pengedaran Disyaki & Pendedahan Kartel Yang Menciplak
Hasil serbuan yang dilakukan telah membuatkan 30 pusat pengedaran disyaki mempunyai kaitan dengan gudang tersebut.
Menerusi artikel yang dikeluarkan oleh Sinar Harian, sebanyak 3 jenama daging Australia telah diciplak oleh kartel di gudang berkenaan seperti GBP Australia, Ararat Meat dan satu jenama yang tidak dapat didedahkan.
#6 Beberapa Nama Jenama Didedahkan
Walaupun beberapa jenama daging sejuk beku ini tidak didedahkan oleh pihak berkuasa, tetapi ada beberapa masyarakat berjaya mendapatkan beberapa jenama yang disyaki dibungkus semula dan menggunakan cap sah halal yang palsu.
Pada yang tak tahu, ni jenama daging tu. pic.twitter.com/Mx6Kk9xKnd
— Syed Kucing (@SaifulChin) December 25, 2020
Dan lagi… pic.twitter.com/QToDK5zGOG
— Syed Kucing (@SaifulChin) December 25, 2020
Disebabkan oleh isu daging kartel ini memberikan kesan kepada peniaga daging sejuk beku yang halal yang lain, masyarakat turut terkena tempiasnya apabila situasi ini membuatkan mereka menjadi panik dan ragu-ragu.
Buat kamu yang ingin membeli daging sejuk beku, elakkan jenama-jenama ini buat sementara waktu.