Jika zaman bujang dahulu anda cukup aktif dalam rutin bersenam atau apa sahaja melibatkan aktiviti mengeluarkan peluh. Tapi kini anda mula tolak ke tepi demi masa bersama anak-anak dan keluarga. Kian lama, tubuh anda mula lemah tidak seperti dulu.
Memang sudah menjadi pengorbanan buat kaum ibu untuk letak ketepi minat bagi memastikan keutamaan keluarga yang pertama. Namun bayangkan jika anda endah tentang kesihatan diri dan akhirnya menyebabkan anda jatuh sakit, siapa pula yang mahu menjaga keluarga anda?
Jadi perkara yang paling elok ialah dengan memastikan penjagaan kesihatan anda dahulu baru mereka yang dibawah anda.
Mungkin mustahil untuk anda jadi ‘fit mom’, tapi percayalah dengan disiplin dan aturan jadual yang rapi pasti anda mampu. Wanista kongsi 3 langkah mudah untuk menjadi ibu yang cergas walaupun sibuk!
#1 Set masa untuk bersenam
Jangan cuba untuk cari masa tapi setkan masa khas untuk anda bersenam. Anda sudah tahu jadual harian sudah ketat, jadi untuk apa mencarinya tapi sepatutnya tetapkan masa tersebut dalam jadual anda. Jadikan waktu bersenam sebagai satu tugasan yang penting. Percayalah bila kita rasa ia sesuatu yang penting, pasti kita akan mencipta alasan untuk menangguh.
#2 Penjagaan luar dan dalam diri
Ia bukan sahaja berkait dengan senaman tapi juga dengan tahap pemakanan yang anda ambil. Pilihan makanan yang beri nutrisi dan tenaga sebaiknya. Biar pun anda tidak punya masa untuk merancang diet tapi cukup rasanya untuk anda tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapai goals. Sentiasa amalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat yang sesuai dengan diri anda.
#3 Makan secukupnya
Jangan jadikan makan banyak sebagai ‘ubat’ untuk anda membalas dendam segala penat. Makanlah secukupnya bukan dengan nafsu.
Sebenarnya tak kisah pun anda seorang ibu atau masih bujang, cubalah untuk aktif dalam kehidupan seharian. Manfaat kesihatan yang baik pasti mendorong anda untuk menjadi individu yang berupaya membantu keluarga dengan lebih baik.