Masyarakat sering mengaitkan selaput dara dengan keperawanan wanita. Namun, apakah dengan hanya menilai ‘keadaan selaput dara’ kita benar-benar boleh menilai virginity seseorang wanita itu sama ada dia sudah pernah melakukan hubungan kelamin atau pun tidak?
Jika diikutkan cerita orang dulu-dulu, selepas malam pertama akan ada seseorang dipertanggungjawabkan untuk memeriksa kain cadar yang ditiduri pasangan pengantin pada keesokan paginya untuk mengetahui sama ada perempuan yang dikahwini itu masih dara atau tidak. Okay… agak keterlaluan di situ.
Tak dinafikan, salah faham tentang organ seksual wanita sering menjadi topik bualan utama apabila kita membuka cerita tentang seksual.
Ayuh Wanista rungkaikan misteri berkenaan selaput dara dan apa kaitannya dengan keperawanan seseorang.
Ini fakta selaput dara yang sebenar.
Apa Itu Selaput Dara?
Selaput dara atau dalam bahasa Inggerisnya adalah disebut sebagai “Hymen” merupakan lapisan sel nipis yang menyelaputi saluran pembukaan vagina (vagina opening).
Fakta #1: Pakar Tidak Pasti Fungsi Sebenar Selaput Dara
Selaput dara adalah sejenis sel yang sukar untuk dipastikan sebab kewujudannya, malah saiz dan bentuknya juga berlainan bagi semua wanita. Sehingga kini, pakar masih belum mengetahui fungsi sebenar selaput dara yang ada pada bahagian pembukaan saluran vagina.
Fakta #2: Selaput Dara Tak Semestinya Pecah Semasa Kali Pertama Melakukan Seks
Seks kali pertama mampu menembusi dara lalu memecahkannya? Fakta itu salah! Ini kerana, selaput dara juga boleh terjejas andainya perempuan itu melakukan aktiviti lasak seperti berlari, bersenam, membuat regangan, berbasikal atau memanjat sesuatu.
Fakta #3: Selaput Dara Hanya Menutup Separuh Pembukaan Vagina
Untuk pengetahuan umum, selaput dara bukanlah lapisan yang menutup penuh laluan vagina. Logik akal, kalau selaput dara menutup penuh saluran tersebut bagaimana darah haid atau sisa cairan dari vagina mahu keluar betul tak?
Sebenarnya, lapisan selaput dara menutup hanya SEBAHAGIAN saluran pembukaan vagina. Jika ia menutup penuh, seseorang itu mungkin menghidap penyakit “Imperforated Hymen” yang menyekat pengeluaran haid serta cairan vagina.
Fakta #4: Ada Wanita Yang Lahir Tanpa Selaput Dara!
Menurut pakar, tak semua bayi perempuan dilahirkan dengan selaput dara. Oleh itu, untuk menguji dan memastikan keperawanan seseorang wanita menerusi selaput dara adalah tidak masuk akal.
Fakta #5: Saiz & Bentuk Selaput Dara Berbeza Bagi Setiap Wanita
Bentuk dan saiz selaput dara adalah berbeza bagi semua wanita.
Rajah menunjukkan contoh bentuk dan saiz selaput dara yang berlainan.
Tetapi yang paling lazim dimiliki wanita adalah selaput dara berbentuk seperti donut -mengelilingi ruang saluran pembukaan vagina. (Seperti contoh ilustrasi paling kiri di barisan bawah)
Fakta #5: Lapisan Selaput Dara Adalah Mudah Lentur
Jika kali pertama mahu melakukan seks, sebaiknya lakukan secara perlahan-lahan. Ini kerana, tekstur selaput dara adalah seperti getah mudah lentur. Seks tidaklah begitu menyakitkan seperti yang disangka kerana selaput dara tidak akan koyak, ia cuma meregang.
Fakta #6: Selaput Dara Tidak Akan Terkoyak Atau Pecah
Kita salah kerana menganggap selaput dara akan hilang begitu sahaja sebaik ianya pecah atau terkoyak walhal, selaput dara cuma akan teralih sedikit kerana teksturnya mudah lentur seperti lapisan getah.
Ianya akan kembali ke tempat asal jika seseorang itu sudah lama tidak melakukan hubungan seksual mahupun sebarang aktiviti lasak.
Fakta #7: Titisan Darah Yang Keluar Saat Kali Pertama Lakukan Seks Bukan Disebabkan Dara
Jika seks dilakukan secara kasar dan laju, ia mungkin akan sakit kerana selaput dara itu akan meregang terlalu besar lalu menyebabkan pendarahan berlaku.
Ini kerana, bagi anak-anak gadis sunti umumnya, kita tidak tahu bagaimana mahu merelakskan otot pada bahagian vagina dek takut atau berasa cemas, membuatkan saluran vagina menjadi sempit dan apabila dipaksa, darah akan keluar.
Fakta 8: Penyakit Selaput Dara Seperti “Imperforated Hymen” Akan Memerlukan Pembedahan
Imperforated Hymen adalah situasi di mana saluran vagina seseorang tersumbat kerana selaput daranya menutup penuh laluan pada pembukaan vagina menghalang darah haid atau sebarang sisa cairan vagina untuk dikeluarkan dari tubuh.
Keadaan ini boleh dipulihkan dengan pembedahan.
Tonton Video Penerangan Ringkas Tentang Selaput Dara
Jadi sekarang anda dah tahu selaput dara hanyalah lapisan yang menutupi separuh bahagian saluran pembukaan vagina dan bukannya menyeluruh seperti yang dibayangkan.
Semoga ilmu ini bermanfaat untuk semua! ❤️