Terbit suatu perasaan yang tidak cukup untuk diungkap dengan kata-kata tatkala pertama kali penulis berpeluang melihat secara realiti pasangan selebriti dua sejoli ini.
Baju rona sedondon yang disarung ke badan masing-masing, cara mereka berinteraksi sesama sendiri serta lirikan mata si isteri yang hinggap di muka sang suami pada setiap saat itu pastinya sudah jelas untuk menyatakan betapa utuhnya percintaan mereka meskipun sudah dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata selepas hampir 13 tahun mengemudi bahtera perkahwinan.
Aaron Aziz dan Diyana Halik, dua nama yang sering disebut-sebut apabila berbicara tentang kebahagiaan sebuah ‘masjid’ iaitu perkahwinan. Lembaran demi lembaran diganti, mereka masih kelihatan romantis setiap kali berdampingan. Bahkan, kehadiran anak-anak juga secara tidak langsung lebih menggamatkan dan menceriakan hari-hari kosong sebagai sebuah keluarga yang sempurna.
Sejak penghujung tahun lepas, Aaron Aziz dan Diyana Halik telah dilantik untuk menjadi duta jenama susu terkemuka tanah air iaitu Dutch Lady PureFarm. Dutch Lady sangat komited, cuba untuk menerapkan satu nilai moral di mana, jalinan hubungan kekeluargaan adalah yang paling mustahak dalam mewujudkan suatu kehidupan harmoni lagi bermanfaat. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu bijak mengatur langkah dalam mendidik dan membiasakan diri anak-anak dengan bermacam aktiviti yang sihat termasuklah amalan meminum susu setiap hari!
Dari situ, kita dapat agak bahawa Aaron Aziz dan Diyana Halik sebenarnya sangat peka tentang keakraban mereka dengan anak-anak. Jadi, tidak hairanlah jika Aaron sendiri mengaku, tujuannya memilih Diyana sebagai pengurus adalah supaya dirinya bisa menjadi lebih teratur.
#1 Akan Cuba Selitkan Waktu Bersama Keluarga
“I need her very much to balance out my life” -Aaron
Aaron yang begitu menghargai pengorbanan isterinya. Sesibuk mana pun dirinya, dia akan cuba meluangkan walaupun sedikit masa untuk anak-anak. Sebagai contoh, waktu sarapan pagi adalah paling ideal untuk dirinya berkumpul dan makan dengan 3 orang anaknya sebelum mereka beredar ke sekolah. Diyana pula berkata, “Setiap kali bangun dari tidur, Aaron tidak ketinggalan untuk periksa keadaan anak-anak.”
Tidak seperti keluarga orang yang lain, memandangkan agak sukar bagi dirinya untuk mencari masa terbaik membawa anak-anak berjalan ke pusat membeli-belah atau melancong, Aaron dan isteri lebih gemar mencipta perkelahan mereka sendiri demi kepuasan masa bersama anak-anak apabila ada masa terluang. “Walaupun setakat 5 saat untuk bermain dengan anak-anak, itu adalah quality time yang sangat bermakna bagi saya. Asalkan sahaja saya dapat melihat anak-anak tersenyum”, jelas Aaron.
#2 Ajar Anak Jadi Disiplin Sekaligus Mempunyai Fikiran Yang Matang
“Saya cuba menetapkan satu peraturan yang baru. Apabila waktu bersama terutama sekali ketika makan, tiada sesiapa pun dibenarnya berinteraksi dengan telefon pintar, menggunakan wifi, 3G mahupun sebarang perkara lain yang bersangkut-paut dengan media sosial”, jelas Diyana. Aaron menyokong perbuatan isterinya itu supaya anak-anak akan faham betapa pentingnya untuk menghargai masa bersama keluarga.
Aaron sebagai seorang bapa bertindak tegas dengan anak-anak. Setiap kali ada kesalahan yang dilakukan anak-anak, Aaron akan mengambil peluang itu untuk menerangkan kepada mereka sebab dan alasan mengapa sesuatu perkara itu disalahkan serta apa akibatkanya yang akan berlaku di hari mendatang. Malahan, Aaron juga selalu sahaja mengingatkan anak-anak untuk sentiasa berpijak di bumi yang nyata, bersyukur dan merendah diri tanpa perlu meninggi diri meskipun dilahirkan sebagai anak kepada pasangan selebriti.
#3 Bersatu
“We must stick together, sentiasa berkomunikasi dan always be happy! Kasih sayang sangat-sangat penting” -Aaron
Diyana sebagai ibu pula mengambil jalan efektif untuk mahu dianggap sebagai teman rapat kepada anak-anaknya. Gelaran seorang ibu itu sahaja tidak cukup untuk buat dia rasa dekat dengan anak-anak. Bagi dirinya, apabila seorang ibu sudah umpama teman rapat kepada anaknya, anak itu kemudiannya akan lebih mesra dan senang untuk berkongsi cerita serta perihal permasalahan yang dihadapi dari masa ke masa.
#4 “Memang Suka Bersama, Bukan Kerana Kebendaan Atau Daya Penarik Lain”
“Aaron yang mula minta nombor telefon saya dahulu. Lebih kurang tiga kali macam tu barulah saya setuju untuk beri kepada dia”, jelas Diyana.
Bagi pasangan ini, tiada apa sebenarnya yang membuatkan mereka tertarik kepada satu sama lain, cinta mereka sangat ringkas! Percintaan mereka sebenarnya hanya dipacu oleh perasaan yang saling melengkapi kekurangan dan kelebihan serta kehendak untuk sentiasa berada di sisi masing-masing setiap masa.
“We enjoy each other’s company” -Aaron
Jika bergaduh pun, selalunya ia ada kaitan dengan konflik percanggahan pendapat dalam sesetengah isu remeh tentang kerja, bergaduh sebagai seorang selebriti dengan pengurusnya. Jika hendak dibandingkan, Aaron lebih baran berbanding Diyana, tetapi sejak bergelar seorang bapa, Aaron beransur bijak mengawal amarahnya.
Aaron juga sebenarnya telah membesar tanpa seorang ayah, jadi sehabis baik dia ingin memberi kebahagiaan yang sewajarnya kepada anak-anak. Dalam pada dirinya yang ingin memanjakan anak-anak, ada tiga perkara yang dianggap sangat serius sebelum ditimbang tara iaitu sifat perilaku, pendidikan dan agama anak-anaknya. Jika ada diantara anak-anaknya yang malas mengaji, mahupun bergaduh sesama sendiri, Aaron akan bingkas menegur supaya anak-anak bisa faham dan berubah untuk jadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.
Kedua-dua insan ini saling melengkapi kekurangan dan kelebihan diri masing-masing. Penulis bersetuju, perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah. Ada kalanya kita tidak henti-henti dihujani dengan rasa kemanisan dan kebahagiaan cinta, manakala ada masa yang lainnya, ribut pula masuk menerkam.
Sesungguhnya, komunikasi, kesabaran, keikhlasan serta kekuatan dari segi metal dan emosi itu adalah kunci utama kebahagiaan rumah tangga. Bak kata orang putih, “give and take”. Kita perlu saling memahami dan jangan terlalu ikutkan hati apabila membuat sesuatu keputusan. Beringatlah, jangan biarkan emosi mengganggu gugat pemikiran anda. Ambil masa untuk relaks! Anda pasti temui jalan penyelesaian yang terbaik!
Selamat beramal! xx