Buat peminat jatuh cinta berkali-kali dengan Bella Hadid.
Walaupun model terkenal Bella Hadid tidak menghadiri Met Gala semalam. Namun dalam minggu ini dia kerap muncul sebagai pelancaran jenama kecantikan barunya iaitu, Orebella. Sepanjang minggu terbabit, Bella tidak terlepas dengan gaya fesyen yang cukup harmoni dengan visi Orebella. Jenama wangian yang baru dilancar itu mendapat sambutan baik oleh peminat setianya. Malah, ada beberapa saiz minyak wangi tersebut telah habis dijual!
Gaun labuh, seksi dan feminin telah menjadi pilihan Bella Hadid. Ketiga-tiga gaya ini amat serasi dengan kejelitaan yang ada pada model berusia 27 tahun ini. Nampaknya Bella mahu ‘berehat’ sekejap dari gaya cowboy-girl yang kini bercinta dengan Adan Banuelos iaitu bintang rodeo dan ahli perniagaan. Puas hati rasanya melihat Bella Hadid dengan ciri kelembutan dan kewanitaan.
Muncul di kota raya New York dengan gaun putih tanpa lengan dari koleksi terkini Rokh’s fall/winter 2024. Gaun dengan korset berenda ini lengkap bersama skirt paras buku lali. Pilihan warna putih ini membuatkan Bella Hadid tampak innocent dan seperti puteri salju. Kasut tumit tinggi warna putih juga pelengkap gaya ini. Bagi menyerlahkan lagi leher jinjang model ini, gaya rambut sanggul dengan juraian bangs cukup mempesona.
Kemudian diikuti pula dengan pilihan gaun warna nude koleksi vintaj Bella Hadid. Iaitu satu dress luar biasa anggun dari John Galliano’s Dior Spring 2024. Gaun yang berusia 20 tahun ini masih cukup padan dengan estetika siluet ringkas dan kewanitaan. Bella Hadid pula bijak dengan memainkan solekan semulajadi, juraian rambut ala dewi dan hanya barang kemas seringkas yang mungkin.
Ini antara gaya paling cantik dan jelita dari Bella Hadid pernah Miss Murai lihat! Gaun merah jambu dari Yves Saint Laurent seolah-olah direka khas untuk Bella. Potongan lengan lebar dan dicantumkan pada bahagian pinggang memberi efek kelembutan pada si pemakai. Bella Hadid pula kelihatan begitu selesa dan seperti biasa tidak berlebih-lebih pada tatarias wajah dan rambut. Sempurna!
Tiba pada malam pelancaran Orebella, Bella kembali dengan gaya seksi dan memukau dengan gaun vintaj kuning milik Roberto Cavalli’s Spring/Summer 2003. Cetakan garang naga, motif bunga dan dedaunan menggambarkan sifat tegas dan lembut pada diri Bella Hadid. Pilihan set korset dan kasut tumit tinggi keemasan melengkapkan lagi aura Bella Hadid.
Antara 4 gaya diatas yang mana menjadi pujaan kamu?