“Siapa beli beg ini memang buta” – netizen
Balenciaga agaknya memang tidak pernah serik atau memang ada permintaan untuk gaya fesyen begini. Selepas tular dengan tuala dan beg biru Ikea, kini Balenciaga kembali dengan beg tote pasar! Dari perkongsian pempengaruh fesyen @theklccboy, beg Men’s Antwerp Medium Tote Bag boleh didapati di butik Balenciaga Malaysia.
Reaksi dari pengguna media sosial amat mencuit hati. Ada yang berpendapat beg ini tidak ubah seperti beg tote plastik JayaGrocer. Malah ada yang meninggalkan komen, beg Balenciaga boleh dibeli di kedai RM2. Apa pun beg ini bukan seperti beg pasar yang lain.
Ia sama seperti kualiti beg tangan Balenciaga iaitu diperbuat dari kulit Nappa calfskin dengan cetakan corak beri, roti dan sayur-sayuran. Dua tali pemegang lengkap dengan logo hebat Balenciaga, disertakan bersama tali bahu yang boleh dilaras. Bahagian depan dan belakang lengkap nama Balenciaga. Jangan lupa ia dibuat di Itali.
Cuma yang jadi perhatian Miss Murai, beg ini merupakan koleksi untuk Men’s Summer Collection 2024. Bukan apa, biasanya kalau bab ke pasar atau menyediakan makan minum keluarga tugas wanita. Nampaknya Balenciaga sudah memecahkan tradisi tersebut.
Agaknya lepas ini apa lagi Balenciaga mahu buktikan?