Dalam ramai-ramai selebriti Malaysia, Miss Murai paling suka melihat penampilan Dato’ Sheila Majid. Mana taknya, Ratu Jazz ini kecil molek orangnya, membuatkan penampilannya sentiasa awet muda dan tak dimamah usia.
Bagi wanita seusia dengannya, pasti mengalami perubahan yang ketara pada tubuh badan dan kesihatan. Tetapi lain pula dengan Dato’ Sheila kerana Miss Murai perasan, penyanyi ini sentiasa aktif dan semakin awet muda hari ke hari.
Membuatkan ramai tertanya-tanya apa rahsianya, mari Miss Murai kongsikan dengan kamu dalam entri kali ini!
#1 Gerakkan badan dengan senaman
Kongsinya suatu ketika dulu, beliau mendedahkan dirinya sentiasa bersenam. Ujarnya antara senaman yang diamalkan adalah larian di treadmill dan pilates.
#2 Pastikan tidak ambil makanan berat ketika bersarapan
Kebiasaannya, ibu kepada empat anak ini akan makan yogurt bersama secawan kopinya dan buah-buahan.
Untuk pengetahuan kamu, yogurt mengandungi probiotik iaitu bakteria sihat yang terdapat secara semula jadi dalam saluran penghadaman wanita yang boleh meningkatkan fungsi pencernaan yang baik.
#3 Ambil makanan yang sihat
Mahu sihat bersama keluarganya, Dato’ Sheila menekankan pengambilan makanan sihat. Ujarnya mereka sekeluarga tidak kerap dan amalkan minuman bergas. Sebaliknya hanya minum air kosong dengan cukup.
“Ibu saya adalah idola dalam banyak benda termasuklah dari segi penyediaan makanan berkhasiat dan bernutrisi. Saya amalkan perkara yang sama untuk keluarga. Hanya sekali sekala saja saya benarkan anak-anak menikmati makanan ringan.”
#4 Jangan biarkan solekan terlalu lama di wajah
Untuk mengekalkan wajah sentiasa awet muda dan kurangkan tanda penuaan, Dato’ Sheila mendedahkan beliau tidak akan membiarkan solekan di wajah berada terlalu lama. Sekiranya habis sahaja kerjanya, beliau akan cuci dengan segera.
“Setiap hari saya amalkan rutin penjagaan kecantikan secara sederhana tetapi konsisten. Saya lakukan rawatan wajah di spa sebulan sekali kerana saya sering bersolek tebal untuk sesi fotografi dan pertunjukan.”
Antara produk yang menjadi kemestiannya adalah pelembap dan sunscreen.
Senang dan sangat mudah kan rutinnya?