Menurut laporan Bernama, syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) akan menggantung perkhidmatannya ke Los Angeles berikutan pelaksanaan rasionalisasi bagi mengatasi kerugian. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya, laluan ke Los Angeles tidak lagi menguntungkan walaupun sudah lama berkhidmat ke sana dan antara faktor yang menyumbang kepada keadaan negatif ini termasuk kapasiti berlebihan, saingan yang menyebabkan hasil yang lebih rendah, kos tinggi menguruskan pesawat B777 dan tekanan daripada kenaikan berterusan harga bahan api.
Menurutnya rasionalisasi laluan dijangka memberi kesan minimum ke atas kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di Asia. Penerbangan nasional itu berkata ia akan mempromosi perkhidmatan penyambungan antara Malaysia, Amerika Syarikat dan destinasi antarabangsa lain, di samping memberi sumbangan kepada usaha menyeluruh pelbagai pihak untuk meningkatkan ketibaan pelancong ke Malaysia.
Ketika ini, syarikat itu menyediakan perkhidmatan penyambungan sekali singgah antara Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar di Amerika Syarikat melalui perjanjian perkongsian kod dengan American Airlines and Japan Airlines, rakan kongsi oneworld alliance. Antaranya Kuala Lumpur dan bandar AS seperti Atlanta, Boston, Washington, Houston, Minneapolis, Portland, Seattle, San Francisco, Las Vegas, San Diego, Honolulu dan Raleigh melalui Eropah dan Jepun.
Sehubungan itu, MAS akan memberi tumpuan kepada destinasi di mana potensi permintaan adalah tinggi, selain peningkatan kelas pertengahan dan pertambahan perdagangan global serta antara rantau.