Bukan setakat orang biasa sahaja berhimpun untuk menunjukkan solidariti kepada Tunku Mahkota Johor baru-baru ini, malah adiwira Marvel terkemuka turut membuat penampilan di pintu masuk Istana Bukit Serene.
Kehadiran Captain America JB atau Kimberley Lee Tan yang tiba dengan kostum lengkap termasuk perisai yang memaparkan bintang dan jaluran warna bendera Amerika Syarikat, mengundang tanda tanya orang ramai termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di situ.
Malah, adiwira itu turut mengambil kesempatan bergambar dengan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim di perkarangan istana.
Beliau kemudian memuat naik gambarnya di perhimpunan di pintu masuk istana dalam akaun Facebook miliknya, yang kemudian dikongsi oleh beberapa yang lain.
Menurut Tan, beliau membuat keputusan mengenakan pakaian Captain America dan menaiki motosikal Ducati Monster sebagai menunjukkan sokongan terhadap keluarga diraja Johor itu.
“Saya hanya berada di sana selama 20 minit sahaja dan ramai yang datang mahu bergambar dengan saya. Malah, saya dapat bergambar dengan Tunku Idris,” kata jurulatih kecergasan yang berusia 46 tahun ketika dihubungi The Rakyat Post.
Tan yang berasal dari Filipina, meninggalkan pintu masuk istana selepas semakin ramai orang berkumpul di situ pada kira-kira jam 4.20 petang. Katanya, beliau akan terus hadir dan memberi sokongan dalam apa-apa acara, terutama untuk kebaikan bersama.
Sumber berita: The Rakyat Post